Prinsip tidak boleh berubah hanya kerana nama individunya berbeza, jangan campur-aduk kuasa mahkamah dengan pengampunan – Ka Siong

KUALA LUMPUR – Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menegur kenyataan Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) yang menyatakan bahawa mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah.

Menurut Ka Siong, pendirian seperti ini tidak menggambarkan keseluruhan kerangka undang-undang dan Perlembagaan Negara.

“Dalam sistem keadilan Malaysia, terdapat beberapa fungsi yang berbeza.

“Mahkamah menentukan sama ada seseorang itu bersalah dan menjatuhkan hukuman.

“Pihak eksekutif pula mentadbir pelaksanaan hukuman mengikut undang-undang, termasuk melalui mekanisme seperti remisi dan parol.

“Pada masa yang sama, Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa pengampunan, penangguhan dan peringanan hukuman kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja/Yang di-Pertua Negeri mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Oleh itu, mengatakan bahawa seseorang pesalah mesti menjalani sepenuhnya hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah tanpa mengambil kira mekanisme lain yang sah di sisi undang-undang adalah tidak tepat,” tegas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.

Ka Siong menyatakan, jika semua hukuman mahkamah mesti dijalani 100 peratus tanpa sebarang kemungkinan pengurangan, pelepasan atau pengampunan, maka untuk apa diwujudkan sistem remisi, parol, Lembaga Pengampunan dan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan?

“Kuasa pengampunan ialah satu kuasa Perlembagaan yang berasingan dan sah. Begitu juga dengan parol.

“Kita sendiri telah melihat kes berprofil tinggi melibatkan bekas Menteri Sabah, Peter Anthony, yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun pada Mac 2025, tetapi kemudiannya diberikan parol selepas kira-kira setahun dan dibenarkan pulang ke rumah pada Mac 2026 melalui mekanisme di bawah pentadbiran Kementerian Dalam Negeri.

“Ketika itu, tidak pula kedengaran bantahan besar daripada PH bahawa beliau, yang dilihat cenderung kepada PH, wajib menjalani keseluruhan hukuman tiga tahun di dalam penjara.

“Justeru, prinsip yang sama mesti digunakan secara konsisten,” tegasnya.

Tambah Presiden MCA itu lagi, kedaulatan undang-undang bukan bermaksud kita hanya menghormati keputusan mahkamah tetapi mengetepikan mekanisme lain yang turut diperuntukkan oleh undang-undang dan Perlembagaan.

“Jika kita benar-benar mahu mempertahankan institusi negara, kita perlu menghormati semuanya — badan kehakiman, undang-undang yang dilaksanakan oleh pihak eksekutif, serta kuasa pengampunan yang diperuntukkan kepada Raja-Raja.

“Jangan apabila sesuatu keputusan memihak kepada pihak yang kita suka, kita panggil ia “rule of law”, tetapi apabila mekanisme Perlembagaan digunakan terhadap pihak yang kita tidak suka, kita tiba-tiba mempertikaikannya.

“Prinsip tidak boleh berubah hanya kerana nama individunya berbeza,” bidas Ka Siong.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat