KUALA LUMPUR — Wanita UMNO menegaskan penyertaan parti itu dalam kerajaan demi memastikan kestabilan negara tidak bermakna UMNO perlu kehilangan suara atau pendirian, sebaliknya parti berkenaan perlu terus membina kekuatan sendiri serta memainkan peranan penting dalam keputusan yang menyentuh kehidupan rakyat.
Ketua Wanita UMNO Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata UMNO merupakan antara tiang yang menegakkan kestabilan negara sepanjang tempoh empat tahun lalu dan tidak wajar dianggap sebagai sekadar penumpang dalam perjalanan politik negara.
“Kalau UMNO cukup penting ketika kerajaan perlu dibentuk, UMNO juga mesti cukup penting ketika keputusan yang menyentuh kehidupan rakyat dibuat. Kita boleh duduk semeja. Tetapi jangan sampai kerusi dan suara kita semakin kecil.
“UMNO bukan penumpang dalam perjalanan politik negara ini. Kita pernah memandu negara ini. Kita tahu jalannya, kita tahu destinasinya dan kita masih mempunyai kekuatan untuk menentukan arahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Noraini berkata Wanita UMNO memahami kepentingan kerjasama dan bertolak ansur dalam sebuah kerajaan yang dibentuk melalui kerjasama parti-parti berbeza dari segi sejarah, ideologi, dasar dan perjuangan, namun sikap tersebut tidak seharusnya menyebabkan identiti serta suara UMNO semakin terhakis.
“Ya, kita menyertai kerajaan demi kestabilan. Kita akan terus mempertahankan kestabilan. Tetapi itu bukan alasan untuk UMNO berhenti membina kekuatannya sendiri. Atas pendirian itulah, Wanita menggariskan lima prinsip dalam menghadapi apa juga bentuk kerjasama politik.
“Pertama, jangan gadaikan asas perjuangan. Kedua, jangan gadaikan maruah parti. Ketiga, jangan gadaikan kestabilan negara. Keempat, jangan pinggirkan masyarakat majmuk Malaysia. Kelima, jangan sekali-kali gadaikan suara akar umbi,” ujarnya.
Beliau berkata UMNO perlu bijak mengimbangi keperluan bekerjasama dengan parti lain dan mempertahankan identiti perjuangannya, termasuk tidak perlu berasa apologetik dalam memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
“Kita boleh berkawan dengan sesiapa. Tetapi kita mesti tahu siapa diri kita. Kerjasama tidak boleh menghakis identiti. Identiti pula tidak boleh menjadi alasan untuk menolak kerjasama. Kita mesti bijak menjaga kedua-duanya.
“Wanita mahu bertanya, sejak bila kita perlu meminta maaf kerana menjadi UMNO? UMNO lahir daripada kesedaran orang Melayu untuk mempertahankan masa depan agama, bangsa dan tanah air.”
Sementara itu, Noraini berkata gagasan Rumah Bangsa perlu dijadikan wadah untuk menyatukan semula ahli serta keluarga besar UMNO yang pernah menjauh daripada parti berikutan perbezaan dan perjalanan politik sebelum ini.
“Gelombang Kepercayaan bukan sahaja membawa rakyat mendekati UMNO. Ia juga mesti membawa pulang mereka yang pernah menjauh daripada perjuangan ini. Dalam perjalanan sebuah perjuangan, ada yang terus setia. Ada yang pernah kecewa. Ada juga yang memilih untuk menjauh.
“Tetapi sebuah keluarga tidak akan selamanya membiarkan pintunya tertutup. Sebab itu, Wanita menyambut baik gagasan Rumah Bangsa yang dibawa oleh YAB Datuk Seri Presiden,” katanya.
Beliau berkata Rumah Bangsa tidak seharusnya menjadi ruang untuk mengulangi pertelingkahan lama, sebaliknya perlu menjadi rumah yang terbuka untuk menerima semula mereka yang pernah berbeza pandangan serta menjadi asas kepada pembinaan kekuatan baharu UMNO.
“Rumah Bangsa bukan sekadar tempat untuk kita kembali. Ia adalah tempat untuk menyatukan semula keluarga besar kita yang pernah terpisah kerana perjalanan politik. Rumah Bangsa bukan tempat mengulangi pertelingkahan lama.
“Rumah Bangsa mesti menjadi tempat kita membina kekuatan semula. Sebab itu Rumah Bangsa mesti menjadi rumah yang cukup besar untuk menyatukan, cukup terbuka untuk menerima dan cukup kuat untuk membawa UMNO ke hadapan,” katanya.



