KUALA LUMPUR, 5 September 2026 – Di tengah tengah Kuala Lumpur yang terus berkembang dengan bangunan moden, pusat komersial dan gaya hidup yang berubah mengikut peredaran zaman, Petaling Street kekal sebagai antara kawasan yang mempunyai cerita tersendiri kerana di sebalik kesibukan lorong dan deretan kedainya, kawasan ini menyimpan sejarah tentang kehidupan masyarakat, perniagaan keluarga, kepelbagaian budaya serta tradisi makanan yang diwarisi dari satu generasi kepada generasi berikutnya, dan kini sebuah destinasi baru yang dikenali sebagai Chinatown 1974 hadir untuk membawa sebahagian daripada cerita tersebut ke dalam sebuah pengalaman yang lebih moden dan dekat dengan kehidupan hari ini.
Secara rasminya dibuka pada 5 September 2026, Chinatown 1974 merupakan destinasi warisan dan gaya hidup lapan tingkat di Jalan Petaling yang menggabungkan pengalaman kulinari, penginapan butik, kesejahteraan, hiburan santai dan ruang atas bumbung dalam sebuah konsep yang berteraskan falsafah “MOVING THROUGH TIME”, dengan pendekatan yang tidak sekadar cuba menghidupkan semula suasana era 1970-an, sebaliknya mengambil semangat dan karakter zaman tersebut lalu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih segar untuk generasi masa kini.
Pelancaran rasmi destinasi berkenaan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Brian Chow, Pengerusi Chinatown 1974 merangkap Pengasas iME Entertainment Group Asia, dengan kehadiran tetamu kehormat daripada sektor kerajaan, korporat dan masyarakat, termasuk YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Y.A.M. Tengku Datin Paduka Setia Zatashah binti Sultan Sharafuddin Idris Shah, Puteri D.Y.M.M. Sultan Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini, Pengerusi UDA Holdings Berhad, YB Mr. Samuel Lee, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II), Tourism Malaysia, serta YBhg. Dato’ Seri Saiful Nizam bin Mohd. Yusoff, Pengarah Urusan Menara Rezeki Sdn. Bhd., yang hadir bersama isteri beliau, Datin Seri Dato’ Nurulhidayah.
Suasana pelancaran turut diserikan dengan persembahan tarian singa tradisional yang menjadi simbol tuah dan kemakmuran, sekali gus memberikan gambaran awal tentang bagaimana Chinatown 1974 cuba menghubungkan elemen budaya yang sudah lama menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Malaysia dengan pengalaman baharu yang dibentuk untuk memenuhi citarasa pengunjung masa kini.
Apa yang menjadikan Chinatown 1974 menarik ialah cara destinasi ini membina pengalamannya secara berperingkat, seolah olah mengajak pengunjung membaca sebuah cerita yang ditulis melalui ruang, makanan, reka bentuk dan suasana, kerana setiap tingkat membawa karakter tersendiri dan pada masa yang sama menjadi sebahagian daripada perjalanan yang lebih besar untuk memahami hubungan antara Petaling Street dahulu dengan Kuala Lumpur hari ini.
Jika sejarah sesebuah bandar sering diceritakan melalui bangunan lama, gambar hitam putih atau kisah yang diwariskan secara lisan, Chinatown 1974 memilih pendekatan yang berbeza apabila warisan diterjemahkan melalui pengalaman yang boleh dirasai sendiri, daripada duduk menikmati makanan di kopitiam, merasai dim sum dan teh Nanyang, berkongsi hidangan hotpot, berehat di ruang kesejahteraan, menginap di hotel butik hinggalah menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari atas bumbung ketika langit mula bertukar warna.

Makanan sebagai bahasa warisan Malaysia
Perjalanan di Chinatown 1974 bermula dengan pengalaman makanan yang menjadi antara elemen utama destinasi tersebut, apabila tiga konsep F&B ditempatkan di tingkat awal bagi memperkenalkan pelbagai sisi budaya makanan Malaysia yang terbentuk hasil pertemuan masyarakat daripada latar belakang berbeza.
Di Tingkat Bawah dan Mezanin, HUAT n CO. membawa konsep The Modern 70’s Malaysian Muhibbah Kopitiam yang berteraskan semangat Eat Like a Local, dengan inspirasi daripada budaya kopitiam tradisional Malaysia yang sejak sekian lama menjadi ruang pertemuan masyarakat, tempat keluarga berkumpul, rakan berbual dan generasi berbeza duduk semeja tanpa mengira latar belakang.
Menu yang diketengahkan pula mengambil hidangan yang sudah sebati dengan kehidupan rakyat Malaysia dan diberikan sentuhan semasa, termasuk HUAT n CO. Signature Nasi Lemak, HUAT Roti Tissue with Three Signature Dips, Old-School Hainanese Chicken Chop, Malacca Chicken Rice Balls dan Heritage Nyonya Laksa, sementara kapasiti sehingga 138 tetamu menjadikan ruang ini sesuai untuk mereka yang mahu menikmati suasana kopitiam dalam keadaan yang lebih selesa dan kontemporari.
Daripada suasana kopitiam yang santai, pengunjung kemudiannya dibawa ke Tingkat Satu untuk menikmati pengalaman yang lebih elegan di THIRTY-ONE MANSION, sebuah konsep rumah dim sum dan teh Nanyang yang mengambil inspirasi daripada era 1970-an dan menggabungkan tradisi Kantonis dengan citarasa Malaysia menerusi penggunaan elemen seperti pandan, satay, kari dan rempah Nyonya dalam hidangan yang disediakan.
Butterfly Pea Satay Glutinous Rice, Pandan Salted Egg Lava Bao dan Pandan Musang King Durian Pancake menjadi antara sajian yang mengetengahkan identiti tersendiri THIRTY-ONE MANSION, manakala ritual Teh Gongfu pula memberikan pengalaman yang lebih mendalam kepada pengunjung apabila proses menikmati teh tidak sekadar tertumpu kepada minuman itu sendiri, tetapi turut memperkenalkan aroma, daun teh, proses membangkitkan bau, cara membancuh serta teknik menuang sebelum setiap seduhan dinikmati secara perlahan.
Dengan kapasiti sehingga 130 tetamu, ruang ini turut menyediakan bilik VIP peribadi dan tempat duduk di balkoni terbuka, menjadikannya pilihan untuk pertemuan keluarga, jamuan atau sekadar meluangkan masa bersama rakan sambil menikmati suasana yang membawa sedikit rasa perjalanan ke masa lalu.
Di Tingkat Dua pula, XI JU CHARCOAL HOTPOT membawa pengalaman yang lebih hangat menerusi konsep “Api Arang × Hotpot × Kebersamaan”, dengan tradisi masyarakat berkumpul mengelilingi api dan menikmati hidangan bersama diterjemahkan dalam suasana yang lebih moden serta selesa.
Antara tarikan utama ialah Teochew Style Fish Soup Charcoal Hotpot yang menggunakan ikan kerapu harimau segar dan dimasak perlahan di atas arang bagi membolehkan rasa semula jadi ikan meresap ke dalam kuah, manakala Melaka Satay Celup Charcoal Hotpot pula membawa rasa rempah dan karakter satay Asia Tenggara ke dalam pengalaman hotpot tradisional Cina, menghasilkan gabungan citarasa Nanyang yang tersendiri.
XI JU turut menyediakan pilihan makanan laut hidup yang boleh dipilih terus daripada tangki khas selepas pesanan dibuat sebelum disediakan segar untuk dinikmati, selain menawarkan bilik VIP dan tempat duduk balkoni terbuka yang menghadap Menara Merdeka Maybank, sekali gus memberikan pengalaman makan yang bukan sahaja tertumpu kepada hidangan tetapi turut menggabungkan suasana dan pemandangan sebagai sebahagian daripada pengalaman.

Apabila Petaling Street bertemu langit Kuala Lumpur
Selepas menjelajah ruang makanan dan budaya di tingkat bawah, perjalanan Chinatown 1974 membawa pengunjung ke pengalaman yang lebih tenang di atas bumbung melalui TWILIGHT TERRACE, sebuah ruang yang berteraskan konsep “Rooftop × Minuman Istimewa × Senja” dan menawarkan teh istimewa, kopi serta kombucha dalam suasana yang sesuai untuk berehat sambil melihat perubahan wajah kota daripada petang menuju malam.
Kedudukannya memberikan pemandangan yang menarik apabila karakter lama Petaling Street dapat dirasai dari bawah, manakala Menara Merdeka Maybank dan KL Tower menjadi sebahagian daripada latar langit Kuala Lumpur yang semakin bercahaya apabila matahari mula terbenam, menjadikan ruang tersebut seolah olah titik pertemuan antara dua zaman yang berbeza.
Di sinilah falsafah “MOVING THROUGH TIME” terasa paling jelas kerana pengunjung bukan sahaja dibawa melihat sejarah melalui reka bentuk dalaman, tetapi dapat menyaksikan sendiri bagaimana sebuah kawasan lama terus berkembang dalam sebuah kota yang semakin moden, dengan bangunan baharu berdiri di sekeliling kawasan yang masih mengekalkan karakter dan denyut kehidupan lamanya.
TWILIGHT TERRACE direka sebagai ruang untuk pengunjung memperlahankan rentak selepas seharian bergerak, sama ada menikmati minuman bersama rakan, melihat matahari terbenam atau sekadar duduk menikmati panorama Kuala Lumpur yang berubah daripada cahaya semula jadi kepada cahaya lampu kota, kerana dalam kehidupan bandar yang sentiasa mengejar masa, ada nilai tersendiri apabila seseorang diberi ruang untuk berhenti seketika dan menikmati suasana tanpa perlu tergesa gesa.
Ruang untuk tubuh dan fikiran
Pengalaman Chinatown 1974 turut membawa pengunjung kepada sisi yang lebih santai menerusi YANG HE Wellness Pavilion di Tingkat Tiga, sebuah ruang kesejahteraan moden yang mengambil inspirasi daripada era 1970-an dengan konsep “Kesejahteraan × Pemulihan × Kehidupan Santai”.
Dilengkapi kemudahan urutan kaki dan spa, YANG HE menyediakan ruang untuk pengunjung berehat daripada kesibukan bandar, memulihkan tenaga dan memberikan sedikit masa kepada tubuh serta minda selepas menjalani rutin harian yang kadangkala terlalu pantas untuk kita sedari.
Konsep ini juga selari dengan semangat Chinatown 1974 yang tidak melihat perjalanan merentas masa sebagai usaha untuk mengingati masa lalu semata mata, tetapi sebagai peluang untuk menghargai masa yang sedang dilalui, kerana dalam dunia yang sentiasa bergerak ke hadapan, kemampuan untuk berhenti seketika juga merupakan sebahagian daripada gaya hidup yang semakin diperlukan.
Menginap di tengah cerita Petaling Street
Bagi pengunjung yang mahu menikmati pengalaman lebih panjang, THE SEVEN STARS HOTEL di Tingkat Lima, Enam dan Tujuh menawarkan pengalaman hotel butik mewah dengan hanya 32 bilik, sekali gus memberikan suasana penginapan yang lebih eksklusif di tengah tengah kawasan Petaling Street yang terkenal dengan kemeriahan dan kehidupan kotanya.
Reka bentuk hotel mengambil inspirasi daripada romantika perjalanan zaman dahulu dan sentuhan nostalgia sinematik, dengan penggunaan tona kayu yang kaya, rona hijau gelap, lantai kayu bercorak herringbone, kemasan bertekstur serta pencahayaan lembut yang menghasilkan suasana retro-mewah namun masih terasa selesa untuk pengunjung masa kini.
Pilihan Standard Room, Deluxe Room, Premier Room dan Couple Suite pula dilengkapi kemudahan premium serta produk dalam bilik yang dipilih dengan teliti, sementara layanan peribadi yang mesra menjadikan pengalaman menginap bukan hanya tentang tempat untuk tidur, tetapi sebahagian daripada cerita yang cuba dibina Chinatown 1974 tentang kehidupan di Petaling Street.
Durian dan ais kisar, dua rasa yang dekat dengan Malaysia
Menariknya, pengalaman di Chinatown 1974 tidak hanya tertumpu kepada ruang utama kerana sejak melangkah masuk lagi pengunjung sudah disambut dengan Durian Village yang mengangkat durian sebagai antara simbol makanan paling dekat dengan kehidupan rakyat Malaysia.
Menerusi konsep “dari ladang ke sajian”, Durian Village menawarkan pilihan durian daripada sumber bekalan Chinatown 1974 sendiri, memberikan peluang kepada pengunjung untuk menikmati Raja Buah sambil mengenali pengalaman yang sering dikaitkan dengan budaya menikmati durian di Malaysia, sama ada bersama keluarga, rakan atau kenalan yang berkongsi meja dan pendapat tentang rasa, tekstur serta pilihan buah masing masing.
Di Tingkat Bawah turut terdapat AISICE yang membawa konsep ais kisar bergerak dengan pendekatan lebih moden dan ceria, menawarkan pencuci mulut yang sesuai dinikmati ketika pengunjung menerokai Petaling Street, sekali gus memberikan sentuhan muda kepada keseluruhan identiti Chinatown 1974.
Gabungan dua pengalaman ini memperlihatkan bagaimana makanan Malaysia boleh bergerak daripada satu generasi kepada generasi berikutnya tanpa kehilangan identitinya, kerana sesuatu yang diwarisi tidak semestinya perlu dikekalkan dalam bentuk yang sama untuk terus dihargai.

Sebuah perjalanan yang dilukis pada dinding
Salah satu elemen yang memberikan identiti tersendiri kepada Chinatown 1974 ialah tangga mural yang menghubungkan setiap tingkat, apabila perjalanan menaiki tangga bukan sekadar aktiviti untuk menuju ke ruang seterusnya tetapi turut menjadi perjalanan visual merentas sejarah dan perkembangan budaya Malaysia.
Mural yang berubah mengikut tingkat membawa pengunjung melalui gambaran suasana dan elemen budaya dari era sebelum 1970-an, sepanjang era tersebut dan seterusnya menuju kehidupan Malaysia hari ini, manakala elemen jam simbolik berhampiran tingkat atas memberikan gambaran tentang masa yang terus bergerak walaupun manusia dan tempat sering berubah.
Apabila pengunjung akhirnya sampai ke ruang atas bumbung, perjalanan itu seolah olah berakhir di antara dua dunia apabila nostalgia yang memenuhi ruang dalaman bertemu dengan panorama Kuala Lumpur moden yang terbentang di hadapan mata.
Dalam satu pandangan, pengunjung boleh melihat bagaimana masa lalu masih mempunyai tempatnya, sementara pada masa yang sama kota terus membina wajah baharunya tanpa pernah benar benar berhenti.
Warisan bukan untuk dikenang sahaja, tetapi untuk terus dirasai
Chinatown 1974 hadir dengan sebuah pendekatan yang cukup jelas, iaitu warisan tidak seharusnya hanya menjadi cerita tentang apa yang pernah berlaku, tetapi perlu terus diberi ruang untuk hidup dalam kehidupan generasi yang baharu.
Daripada kopitiam Muhibbah Malaysia kepada dim sum dan teh Nanyang, daripada hotpot arang kepada ruang kesejahteraan, hotel butik, pengalaman durian dan ais kisar, setiap elemen yang ditempatkan di dalam bangunan ini membawa satu cebisan kecil daripada budaya dan gaya hidup yang pernah membentuk Petaling Street.
Kesemua pengalaman tersebut kemudian disatukan dengan ruang atas bumbung yang menghadap wajah Kuala Lumpur hari ini, menjadikan Chinatown 1974 seolah olah sebuah jambatan yang menghubungkan dua zaman, iaitu Kuala Lumpur yang pernah dikenali oleh generasi terdahulu dengan Kuala Lumpur yang sedang dibentuk oleh generasi masa kini.
Di sinilah nilai sebenar “MOVING THROUGH TIME” dapat dirasakan kerana Chinatown 1974 bukan sekadar mengajak pengunjung mengingati tahun 1974, sebaliknya mengajak mereka memahami bahawa setiap zaman meninggalkan sesuatu yang berharga untuk generasi seterusnya.
Petaling Street mungkin terus berubah, kedai mungkin bertukar tangan, bangunan mungkin melalui pelbagai fasa dan kehidupan kota mungkin bergerak semakin pantas, namun selagi makanan masih dinikmati bersama, cerita masih dikongsi di meja, budaya masih diraikan dan manusia masih mahu kembali mengenali akar mereka, maka warisan itu tidak pernah benar benar hilang.
Dalam suasana Kuala Lumpur yang semakin moden, Chinatown 1974 memilih untuk berjalan bersama masa tanpa meninggalkan cerita lama di belakang, membawa semangat Petaling Street era 1970-an ke dalam pengalaman yang lebih kontemporari sambil membuka ruang kepada generasi baharu dan pelancong dari seluruh dunia untuk mengenali Malaysia melalui rasa, budaya, hospitaliti dan kehidupan yang pernah membentuk kawasan ikonik ini.
Kerana akhirnya, sebuah bandar bukan hanya tentang bangunan yang berdiri tinggi atau jalan yang semakin sibuk, tetapi tentang cerita manusia yang pernah mengisinya, dan Chinatown 1974 cuba memastikan cerita itu terus bergerak, terus dirasai dan terus mempunyai tempat dalam lembaran Kuala Lumpur yang sedang ditulis hari ini.



