KUALA BERANG — Kerajaan memperuntukkan RM700,000 bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan pemerkasaan komuniti menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Basong serta SK Padang Setebu, Hulu Terengganu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, daripada jumlah itu, RM500,000 diperuntukkan untuk Kampung Basong, RM100,000 bagi SK Padang Setebu dan RM100,000 lagi untuk elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Pembangunan sesebuah negara tidak boleh diukur dari sudut fizikal semata-mata, sebaliknya mesti merangkumi pembangunan modal insan dan pemerkasaan sosioekonomi masyarakat luar bandar.
“Justeru inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI diwujudkan menerusi pendekatan turun ke lapangan secara terus dengan falsafah bahawa tiada sesiapa yang terpinggir daripada arus pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026 di Kampung Basong, Hulu Terengganu, hari ini.
Jelasnya melalui peruntukan RM500,000, pelbagai kemudahan di Kampung Basong dinaik taraf termasuk balai raya, longkang, kerja pemotongan bukit, padang bola dan gelanggang sepak takraw.
Tambahnya, kemudahan surau dan stor tanah perkuburan turut dibaik pulih serta dilengkapi tugu dan papan tanda baharu.
“Semua projek ini kita bina berasaskan keperluan sebenar orang kampung. Ia bukan sekadar hiasan, tetapi satu pelaburan untuk keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan hidup,” katanya.
Bagi SK Padang Setebu pula, beliau berkata sebanyak RM100,000 digunakan untuk menaik taraf kantin serta membekalkan perkakasan bagi bilik tayangan dan pejabat, selain pelaksanaan program pemerkasaan pendidikan dan kebajikan.
Arthur berkata, penyediaan kemudahan sekolah yang selesa amat penting bagi memastikan murid mendapat persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
“Saya berdoa semoga kemudahan baharu ini menjadi pembakar semangat buat anak-anak SK Padang Setebu dan warga pendidik untuk terus mencipta kejayaan.
“Saya faham benar betapa pentingnya sekolah yang selesa untuk anak-anak kita belajar,” katanya.
Beliau berkata elemen TVET turut diberikan penekanan menerusi peruntukan tambahan RM100,000 yang diterjemahkan melalui kerja-kerja pendawaian elektrik di surau serta stor kawasan tanah perkuburan Kampung Basong.
Menurut Arthur, pendekatan itu bukan sahaja menambah baik kemudahan fizikal, malah menyediakan ruang latihan praktikal dan pembangunan kemahiran kepada komuniti setempat.
“Elemen TVET ini bukan sahaja membaiki kemudahan fizikal, malah menjadi medan latihan praktikal, pembangunan kemahiran dan penglibatan keupayaan komuniti secara langsung.
“Inilah nilai tambah yang mahu kita suntik agar penduduk tempatan memperoleh faedah berpanjangan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sinergi antara Jabatan PERHILITAN, kementerian, agensi pelaksana dan penduduk setempat membuktikan perkhidmatan kerajaan mampu disampaikan dengan pantas, telus dan berkesan.
Kerajaan juga akan terus berusaha merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar menerusi penyediaan kemudahan asas yang kukuh serta inklusif.
“Pembangunan fizikal dan prasarana yang telah dibina ini hanya akan mencapai objektif hakikinya jika ia dijaga dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Jaga, pelihara dan manfaatkanlah fasiliti yang telah diwujudkan dengan sebaik-baiknya demi kebaikan anak-anak dan generasi akan datang,” katanya.



