KOTA BHARU: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa seorang wakil Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pernah bertanyakan siapa calon Perdana Menteri yang dicadangkan PAS dalam satu pertemuan di Kedutaan AS di Malaysia.
Menurut Hadi, perkara itu berlaku ketika PAS masih bersama Pakatan Rakyat, sekitar tempoh lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama, ke Malaysia.
Hadi berkata persoalan mengenai calon Perdana Menteri itu timbul selepas dua pemimpin kanan PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan pihak Kedutaan AS.
“Dia tanya, siapa PAS cadang jadi Perdana Menteri? Saya kata, siapa Amerika setuju?”
Hadi berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Kota Bharu, semalam.
Menurut beliau, Takiyuddin dan Samsuri yang ketika itu merupakan ketua politiknya telah pergi ke Kedutaan AS selepas pertemuan berkenaan diatur.
Hadi turut mendakwa kedua-dua pemimpin PAS itu diberitahu mengenai kemungkinan untuk menjatuhkan kerajaan ketika itu dan mengambil alih pentadbiran negara.
Malah, beliau mendakwa pihak AS bersedia membantu usaha berkenaan.
Bagaimanapun, Hadi berkata Takiyuddin dan Samsuri tidak terpengaruh dengan tawaran tersebut.
“Kedua-dua orang kita tetap pendirian. Tidak terpengaruh,” katanya.
Hadi berkata selepas pertemuan itu, Duta AS meminta untuk bertemu dengannya dan beliau hadir bersama Datuk Mustafa Ali.
Menurut Hadi, persoalan mengenai calon Perdana Menteri turut dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.
Beliau berkata pada ketika itu, nama Tun Dr Mahathir Mohamad disebut sebagai calon dan mendapat maklum balas positif daripada wakil AS.
Hadi bagaimanapun berkata beliau tidak menganggap perkara itu sebagai keutamaan kerana keputusan mengenai calon Perdana Menteri hanya perlu dibuat apabila tiba masanya.
Beliau mendakwa wakil AS ketika itu memberikan respons positif selepas nama Mahathir disebut.
Sementara itu, Takiyuddin mengesahkan bahawa beliau dan beberapa pemimpin PAS pernah mengadakan pertemuan dengan wakil Kedutaan AS seperti yang dirujuk Hadi.
Bagaimanapun, pengesahan Takiyuddin tidak merangkumi keseluruhan dakwaan Hadi mengenai kandungan pertemuan tersebut.
Menurut Takiyuddin, wakil kedutaan ketika itu ada bertanyakan sama ada PAS mempunyai rancangan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata PAS tidak memberikan sebarang keputusan atau pendirian berhubung perkara itu.
Takiyuddin turut menegaskan bahawa PAS tidak pernah meminta campur tangan mana-mana negara asing dalam urusan politik Malaysia, termasuk ketika pentadbiran BN.
“Kita tidak mengharapkan campur tangan negara asing kerana politik negara kita adalah hak kita dan tidak boleh ada campur tangan asing.
“Kalau pihak lain hendak campur tangan asing untuk menjatuhkan (kerajaan), itu terpulang kepada mereka. Kita tidak.”



