Kenyataan terbuka 9 muka surat isu LA28, Azizulhasni tuntut jawapan KBS, MSN, gesa kerajaan lantik menteri berpengalaman

KUALA LUMPUR — Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tampil dengan kenyataan terbuka sebanyak sembilan muka surat berhubung misi Malaysia ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), dengan mempersoalkan sama ada khidmatnya masih diperlukan negara bagi misi berkenaan.

Dalam kenyataan itu, Azizulhasni turut menyentuh peranan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufik Johari dalam isu berkenaan, selain mempersoalkan pendekatan mendengar sebelah pihak dan menyifatkan terdapat “dinasour-dinasour” di sekeliling Menteri berkenaan.

“Sekali lagi saya tidak faham kenapa perkara ini tidak dapat diselesaikan dengan kadar segera mungkin. Saya sentiasa menggunakan pendekatan yang terbuka untuk sebarang perbincangan dari awal.

“Saya berharap saya tidak perlu menyatakan perkara ini, akan tetapi maaf saya katakan yang pihak Menteri KBS, YB Taufik Johari sendiri tidak memainkan peranan penting beliau di dalam isu ini.

“Adakah beliau lebih selesa menggunakan pendekatan mendengar sebelah pihak sahaja terutamanya dinasour-dinasour di sekelilingnya? Wallahualam,” katanya.

Azizulhasni kemudian berharap kerajaan selepas ini tidak lagi meletakkan individu yang tidak berpengalaman untuk terus memegang jawatan kepimpinan besar dalam sesebuah organisasi, khususnya dalam pengurusan sukan negara.

Menurutnya, keputusan sedemikian boleh memberi kesan besar kepada akar umbi dan membawa kerugian kepada negara, namun beliau menegaskan teguran itu bukan bertujuan memburukkan mana-mana pihak.

“Alang-alang saya menyentuh perkara sebegini, saya juga berharap pihak kerajaan selepas ini tidak lagi meletakkan seseorang yang tidak berpengalaman untuk terus menjadi seorang pemimpin besar di dalam sesebuah organisasi.

“Kesannya amat besar kepada akar umbi dan membawa kerugian besar kepada negara. Apa yang saya katakan ini tidak mempunyai sebarang niat buruk kepada sesiapa tetapi lebih untuk kebaikan seluruh atlet negara dan seluruh warga sukan negara.

“Saya tahu kenyataan saya ini akan menimbulkan kemarahan sesetengah pihak tetapi sesiapa yang selalu berurusan dengan saya, mereka tahu saya jenis ‘straight forward’ demi kebaikan semua,” jelasnya.

Azizulhasni turut mengaitkan pandangannya dengan kemelut membabitkan pakar High Performance Sport, John Beasley sebelum ini yang menurutnya menyebabkan Malaysia kehilangan individu yang mempunyai kepakaran tinggi dalam sukan lumba basikal dan bidang prestasi tinggi.

Beliau berkata pengalaman tersebut seharusnya menjadi pengajaran supaya isu membabitkan kepakaran dan pengurusan profesional dalam sukan tidak dipandang ringan.

“Kita juga dapat lihat di dalam isu kemelut John Beasley yang lepas, beliau sendiri menyepikan diri dan hanya menghantar wakil. Walaupun ketika isu menjadi tersangat besar pun beliau tidak campur tangan dan akhirnya Malaysia telah kehilangan seseorang yang mempunyai kepakaran yang sangat tinggi di dalam sukan lumba basikal dan juga ‘High Performance Sport’.

“Perkara seperti ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua kerana apabila Malaysia kehilangan seseorang yang mempunyai kepakaran tinggi, kesannya bukan hanya kepada seorang atlet tetapi turut memberi kesan kepada keseluruhan sistem sukan,” katanya.

Azizulhasni berkata, isu berkenaan bukan sekadar menyentuh keputusan untuk meneruskan karier, sebaliknya memerlukan kepastian daripada KBS dan MSN kerana beliau perlu merancang perjalanan karier serta komitmen lain.

Beliau berkata, sejak ditanya media mengenai statusnya untuk ke LA28, beliau sudah beberapa kali menjelaskan bahawa jawapan konkrit diperlukan secepat mungkin bagi membolehkan perancangan dibuat dengan teliti.

“Bagi saya situasi sekarang sebenarnya adalah bukan soal saya ingin meneruskan kayuhan ke LA28 ataupun tidak, akan tetapi situasinya adalah sama ada Malaysia masih memerlukan khidmat saya ataupun tidak untuk ke LA28.

“Saya perlu membuat perancangan yang teliti untuk pergerakan dan pelan seterusnya. Jika khidmat saya diperlukan, saya perlu merancang untuk terbang terus ke Kejohanan Dunia di Shanghai daripada Sukan Asia Nagoya kerana jarak antara dua perlumbaan besar itu hanya dua minggu,” katanya.

Beliau berkata, jika khidmatnya tidak lagi diperlukan, beliau boleh kembali kepada keluarga dan meneruskan perancangan bersama pihak penaja yang menjadi antara tulang belakang kepada karier profesionalnya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa penaja juga memerlukan perancangan awal untuk menentukan komitmen dan hala tuju seterusnya.

“Jika khidmat saya tidak diperlukan oleh Malaysia, jadi saya boleh terus pulang ke pangkuan keluarga dan mengatur semula perancangan. Saya juga perlu duduk berbincang dengan semua penaja yang menjadi tulang belakang saya selama ini.

“Penting untuk memberikan jawapan awal kepada mereka kerana saya percaya mereka juga mempunyai hak ke atas saya di atas segala yang mereka telah laburkan setelah saya memilih untuk bergerak secara profesional,” ujarnya.

Azizulhasni turut menjelaskan aspek kewangan bukan fokus utamanya dalam pertimbangan untuk meneruskan misi LA28.

Malah, beliau berkata sebahagian besar dana untuk bergerak secara profesional datang daripada penajaan swasta, selain kerja seperti speaking engagement dan special appearance.

“Saya menyatakan yang soal kewangan bukan fokus utama saya di dalam situasi bersama mereka kerana kewangan saya boleh cuba untuk dapatkan daripada sektor swasta dan penajaan.

“Ramai yang menyatakan hasrat dan ingin tampil membantu jika saya ingin meneruskan ke LA28. Saya beritahu apa yang penting adalah sistem sokongan ketika latihan dan juga pertandingan ketika mana saya memerlukannya,” katanya .

Sebelum ini Azizulhasni turut menyatakan beliau sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan mengenai statusnya, termasuk bersama wakil MSN dan KBS.

Katanya, pada 13 Ogos lalu beliau bertemu tiga wakil MSN bagi membincangkan kebarangkalian meneruskan karier ke LA28 serta bentuk sokongan yang diperlukan.

Beliau turut menegaskan tidak mahu dirinya digunakan sekadar untuk mendapatkan mata kelayakan bagi pasukan kebangsaan sebelum berlaku perubahan terhadap kedudukannya pada kemudian hari.

Justeru, beliau mahu wujud perjanjian dan hitam putih berhubung hak atlet terhadap mata kelayakan yang dikumpulkan bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Saya tidak mahu diri saya digunakan hanya untuk mendapatkan mata kelayakan untuk pasukan kebangsaan dan berlaku aksi silap mata di kemudian hari.

“Perlu ada perjanjian dan hitam putih yang mana setiap mata kelayakan yang dikumpul oleh atlet tertentu maka mereka mempunyai hak ke atasnya untuk mengelakkan aksi silap mata berlaku di kemudian hari.

Azizulhasni juga mencadangkan supaya KBS dan MSN mengamalkan pendekatan lebih telus berhubung dana serta kewangan yang digunakan oleh pasukan di bawah program kebangsaan.

Menurutnya, ketelusan itu penting bagi mengelakkan salah faham dan membolehkan orang awam mengetahui jumlah dana yang digunakan untuk setiap atlet.

“Untuk mengelakkan salah faham seperti sebelum ini berulang lagi, saya juga ingin mencadangkan supaya pihak KBS dan MSN menggunakan pendekatan telus untuk sentiasa kemas kini dan memaklumkan kepada orang awam berkenaan dana dan kewangan yang digunakan oleh pasukan di bawah kebangsaan.

“Jadi semua orang dapat melihat sendiri berapa dana awam yang digunakan oleh setiap atlet. Saya rasa pendekatan seperti ini lebih baik supaya tidak timbul lagi pelbagai tuduhan dan salah faham,” jelasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat