KUALA LUMPUR – Beberapa peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Akta 30) serta Kaedah Tatatertib Pelajar yang mengehadkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pemakaian sebagai langkah pelaksanaan segera proses pemansuhan akta itu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan hari ini berkata peruntukan-peruntukan itu ialah kebebasan pengurusan persatuan dan kelab, kebebasan pengurusan aktiviti pelajar dan kebebasan bersuara, berhimpun, penggunaan platform komunikasi dan pengedaran serta penerbitan dokumen.
“Selaras dengan langkah tersebut, KPT ingin mengumumkan bahawa semua prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua universiti hendaklah dihentikan berkuatkuasa serta-merta,” katanya.
KPT juga memaklumkan mengambil langkah segera untuk memperluaskan kebebasan bersuara dan hak berpersatuan mahasiswa selaras dengan penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pemansuhan akta berkenaan.
“Sehubungan itu, KPT telah meneliti langkah-langkah yang boleh dilaksanakan dalam kerangka perundangan seda ada bagi menterjemahkan penegasan tersebut dengan segera,” katanya.
Pada masa sama, kebebasan tersebut perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab dan keluhuran undang-undang, perbuatan yang melibatkan keganasan, vandalisme, kerosakan harta, kesalahan jenayah, salah laku akademik atau pelanggaran tatatertik yang sah tetap tertakluk pada undang-undang yang berkuat kuasa, katanya.
“Manakala bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tidak tertakluk bawah AUKU, penelitian yang sama akan dilaksanakan terhadap peruntukan masing-masing yang berkaitan mahasiswa,” menurut kenyataan itu.


