KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memuktamadkan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela 5,000 orang pelarian rakyat Myanmar yang layak untuk balik ke negara asal.
Dalam satu kenyataan program itu akan dilaksanakan secara selamat bertanggungjawab dan mengikut prosedur yang dipersetujui bersama kerajaan Myanmar.
KDN berkata fasa pertama akan dilaksanakan pada pada 29 September depan melibatkan seramai 1,476 orang warga Myanmar yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar.
“Tarikh tersebut telah dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan yang melibatkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik dan penyelarasan berbanding cadangan asal kerajaan Myanmar iaitu pada 28 Ogos.
“Proses penghantaran pulang akan menggunakan dua buah kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar,” katanya.
Bagi tahun ini, KDN akan meletakkan seramai 4,008 orang daripada mereka terutamanya etnik Rohingya kepada Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) manakala 5,000 yang lain akan menjalani proses pulang secara sukarela.
Untuk rekod, sehingga tarikh 15 Ogos 2026, seramai 10,388 orang warga Myanmar berada di Depot Tahanan Imigresen.
“Perlu ditegaskan jumlah ini merangkumi semua rakyat Myanmar yang ditahan dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian.
“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan proses DPP bagi mengesahkan identiti dan status imigresen setiap individu.
“Proses pendaftaran DPP kumpulan ini dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat tahun ini,” menurut kenyataan tersebut.
KDN berkata seterusnya program DPP akan diperluaskan kepada semua pendatang tanpa izin yang berada di luar depot tahanan, termasuk pemegang kad UNHCR dan individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian.
“Individu yang memenuhi syarat dan melepasi proses DPP akan diberikan kad DPP sebagai dokumen pendaftaran yang membolehkan mereka tinggal secara sementara tertakluk kepada syarat dan pemantauan yang ditetapkan kerajaan Malaysia,” katanya.
Lebih 95 peratus pelarian di negara ini berasal dari Myanmar, termasuk etnik Rohingya, Chin, Karen dan Mon.
“Justeru, penyelesaian ini tidak boleh dilakukan secara unilateral.
“Kerajaan sedang dan akan terus menggiatkan rundingan diplomatik secara langsung dengan kerajaan Myanmar untuk memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan dengan teratur, bermaruah dan dipersetujui oleh kedua-dua negara,” menurut KDN.



