Anwar tunggu surat Saravanan, akan rujuk ke SPRM, kementerian berkaitan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, surat bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berhubung kes yang sedang dihadapinya akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak berkuasa berkaitan untuk penelitian.

Anwar berkata, beliau masih belum menerima surat berkenaan daripada Saravanan dan akan merujuk perkara itu kepada pihak berkaitan sebaik menerimanya.

“Ya, itu perkara biasa. Saya sedang menunggu surat itu. Apabila sampai kepada saya, ia bukan urusan saya.

“Saya akan rujuk kepada SPRM atau kementerian berkaitan untuk mereka teliti,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Butterworth, lapor BH.

Saravanan sebelum ini menyifatkan tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta yang dihadapinya sebagai satu tuduhan liar.

Mengulas perkara itu, Anwar menegaskan semua pihak perlu memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan, termasuk siasatan dan pendakwaan yang sedang berlangsung.

Beliau berkata, tiada sebarang kesimpulan wajar dibuat sebelum perkara berkenaan diputuskan oleh mahkamah.

“Kita mesti beri ruang kepada siasatan diteruskan, begitu juga pendakwaan dan prosesnya, dan jangan membuat sebarang kenyataan kerana perkara itu belum pasti sehingga diputuskan oleh mahkamah,” katanya memetik akhbar itu.

Sebelum ini, Saravanan dilaporkan menulis surat kepada Anwar bagi memohon bantuan untuk meneliti serta mempercepatkan kes berkenaan, sambil menegaskan beliau tidak meminta Perdana Menteri campur tangan dalam urusan SPRM.

“Saya bukan minta Perdana Menteri mengawal SPRM. Saya minta beliau membantu meneliti kes ini kerana saya memang tidak terbabit langsung,” katanya.

Saravanan turut memohon supaya kes berkenaan dipercepatkan dan dibicarakan secepat mungkin kerana ia membabitkan dirinya sebagai wakil rakyat serta Timbalan Presiden MIC.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat