BURU 5.0 bantu kawal baung ekor merah berleluasa di perairan sungai

Oleh Zihan Zari

JELEBU – Pengurusan sumber sungai memerlukan penglibatan semua pihak termasuk komuniti pemancing, masyarakat setempat dan agensi berkaitan bagi memastikan kelestarian sumber perikanan dapat dipelihara, kata Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Hj. Jalaluddin Alias.

Jalaluddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspedisi Memburu Baung Ekor Merah Siri Ke-5 (BURU 5.0) di Dataran Empangan Sungai Buloh, dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, EXCO Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan merangkap ADUN Sungai Lui, Dato’ Mohd Razi Mohd Ali; dan Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe.

BURU 5.0 yang berlangsung pada 16 hingga 17 Ogos lalu memperlihatkan penglibatan komuniti dalam membantu usaha mengurus spesies ikan asing serta memelihara kelestarian ekosistem perairan darat dan populasi ikan asli di Sungai Triang.

Jalaluddin yang juga ADUN Pertang berkata BURU 5.0 bukan sekadar aktiviti rekreasi dan sukan memancing, sebaliknya menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengurus sumber perikanan secara bertanggungjawab.

Katanya, penyertaan seramai 600 peserta membuktikan aktiviti rekreasi perikanan mempunyai potensi besar untuk menjadi pemangkin ekopelancongan dan memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Program seperti ini juga dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melindungi ikan asli dan menjaga ekosistem sungai,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan berkata rekod menunjukkan baung ekor merah atau Redtail Catfish (Hemibagrus wyckioides) merupakan spesies ikan asing yang berasal dari Lembangan Sungai Mekong dan boleh mencapai panjang sehingga 130 sentimeter serta berat sehingga 80 kilogram.

Katanya, spesies tersebut mula dikesan di Sungai Triang sejak awal 2022 dan dipercayai terlepas daripada kolam ternakan susulan banjir besar pada penghujung 2021.

Menurutnya, sebanyak 40 ekor baung ekor merah telah direkodkan bagi tahun 2026, termasuk 15 ekor yang berjaya ditangkap sempena BURU 5.0 dan daripada 15 ekor yang ditangkap, berat tangkapan direkodkan antara 100 gram hingga enam kilogram seekor.

“Dengan mengambil kira rekod tahunan 2022 hingga 2026, jumlah pendaratan yang direkodkan adalah sebanyak 96 ekor berdasarkan penjumlahan rekod tahunan, ”menurutnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, rekod tangkapan tersebut menunjukkan penglibatan komuniti pemancing dalam membantu DOF memantau dan mengurus kehadiran spesies ikan asing di perairan darat.

“Baung ekor merah ialah spesies asing dan kehadirannya dalam perairan tempatan berpotensi memberi tekanan kepada ikan asli melalui persaingan mendapatkan makanan dan habitat serta pemangsaan.

“Justeru, penglibatan komuniti pemancing melalui program seperti BURU 5.0 amat penting dalam membantu usaha pemantauan dan pengurusan spesies asing,” katanya.

Menurut beliau, usaha mengurus spesies ikan asing perlu dilaksanakan seiring dengan program pemuliharaan dan pengukuhan stok ikan asli bagi memastikan keseimbangan ekosistem sungai terus terpelihara.

“Sebanyak 10,000 ekor benih ikan baung sungai bernilai RM5,000 turut dilepaskan sempena BURU 5.0 bagi membantu pengukuhan sumber ikan asli di kawasan berkenaan.

“Bagi Sungai Triang, sebanyak 228,800 ekor ikan asli bernilai RM65,607 telah dilepaskan bagi tempoh 2021 hingga 2025, manakala di seluruh Negeri Sembilan sebanyak 655,420 ekor benih ikan asli telah dilepaskan pada 2025 di 26 lokasi sungai.

“Pelepasan ikan asli ini merupakan antara langkah berterusan jabatan bagi memperkukuh populasi ikan tempatan. Usaha ini perlu bergerak seiring dengan pengurusan spesies asing serta kesedaran masyarakat supaya tidak melepaskan ikan bukan tempatan ke perairan umum,”katanya.

Sementara itu, ekspedisi memburu baung ekor merah, BURU 5.0 turut menampilkan aktiviti mengoca ikan di Sungai Buloh, iaitu kaedah tradisional menangkap ikan yang mempunyai nilai warisan dan budaya masyarakat setempat.

Aktiviti berkenaan turut menjadi medium pendidikan kepada generasi muda mengenai kaedah tradisional masyarakat terdahulu serta hubungan rapat komuniti dengan sumber perikanan sungai.

BURU 5.0 merupakan kesinambungan empat siri terdahulu, iaitu BURU 1.0 di Kuala Sungai Pikul, Sungai Triang pada 2022; BURU 2.0 di Kuala Kenaboi pada 2023; BURU 3.0 di Kampung Sungai Buloh pada 2024; dan BURU 4.0 di Empangan Sungai Buloh pada 2025.

Penganjurannya turut berpotensi memberi limpahan ekonomi kepada komuniti melalui sektor makanan, penginapan, pengangkutan, peralatan memancing dan perniagaan kecil, selain memperkukuh potensi Jelebu sebagai destinasi ekopelancongan berasaskan rekreasi perikanan darat.

Dalam perkembangan berkaitan, DOF menggalakkan masyarakat supaya melaksanakan aktiviti rekreasi perikanan secara bertanggungjawab dengan menjaga kebersihan sungai, memelihara habitat akuatik, mematuhi peraturan perikanan serta tidak melepaskan spesies ikan asing ke perairan umum.

BURU 5.0 diharap dapat terus menjadi platform kerjasama antara jabatan, komuniti pemancing dan masyarakat setempat dalam mengurus impak spesies ikan asing, memperkukuh populasi ikan asli serta memastikan kelestarian ekosistem perairan darat untuk generasi akan datang. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat