Saravanan mengaku tidak bersalah terima suapan RM1.097 juta terkait kuota pekerja asing

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, atas tiga pertuduhan menerima suapan RM1.097 juta, 4 tahun lalu.

Ahli Parlimen Tapah berusia 58 tahun itu meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Tidak mengaku, minta dibicara,” katanya yang berdiri di dalam kandang tertuduh, lapor BH.

Bagi semua pertuduhan, Timbalan Presiden MIC itu didakwa secara rasuah menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Syarikat Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38.

Jumlah RM597,000 itu diterima melalui satu cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan supaya beliau yang ketika itu berjawatan Menteri Sumber Manusia memberikan kelulusan terhadap permohonan sebanyak 1,000 kuota pekerja asing bagi syarikat TYKB Engineering Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah resort golf di Bukit Jalil, di Jalan Telawi 3 Bangsar dan sebuah bank Cawangan Jalan Klang Lama, di sini, pada 16 Jun 2022 dan 7 Julai 2022, lapor akhbar itu lagi.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala Saravanan diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.

Turut hadir mengikuti prosiding berkenaan ialah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan isteri Saravanan, Datin Seri Kavitha Vivekanandan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat