KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen hari ini sebulat suara bersetuju untuk memulakan prosiding untuk siasatan kelemahan tadbir urus kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH).
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata keputusan itu dibuat selepas penemuuan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari tahun 2014 hingga 2020 yang didedahkan pada umum pada 29 Julai lalu.
Beliau berkata pendedahan RCI berkenaan adalah amat serius dan boleh menghakis kepercayaan umat Islam di negara ini sekiranya tidak ditangani dengan sewajarnya.
“Masih ada beberapa persoalan yang terus diperkatakan selepas laporan RCI itu didedahkan dan kemudian dibahaskan di Dewan Rakyat dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos 20206,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mas Ermieyati, PAC berpandangan sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan di bawah Parlimen yang tidak memihak mana-mana parti, PAC ada bidang kuasa jelas seperti yang termaktub dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Arahan Perbendaharaan dan Pekeliling Am Bilangan 1 Organisasi-organisasi Kementerian Jabatan Perdana Menteri untuk memulakan prosiding berhubung isu ini.
“Bagaimanapun, tajuk, Terma Rujukan (TOR) dan senarai saksi berhubung prosiding Lembaga Tabung Haji ini masih belum ditetapkan buat masa ini dan Jawatankuasa ini akan mengadakan mesyuarat khas bagi tujuan berkenaan,” katanya.
PAC sudah mempunyai pengalaman dalam siasatan isu yang besar dan sensitif antaranya prosiding 1MDB pada 2016, prosiding Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion pada 2019 dan prosiding perolehan Kapal Peronda Generasi Kedua-Littoral Combatant Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2022.
“Prosiding PAC berhubung perolehan LCS dimulakan selepas Jawatankuasa ini menerima laporan daripada Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) pada tahun 2019,” kata Mas Ermieyati.
Beliau menjelaskan untuk memastikan siasatan dilakukan secara komprehensif, PAC akan menggunakan dokumen seperti Laporan RCI, Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Audit Firma PWC sebagai rujukan dalam prosiding berkenaan.
“PAC komited untuk menjalankan siasatan ini secara telus dan adil demi memastikan akauntabiliti berterusan pengurusan wang awam dan mengembalikan keyakinan penuh pendeposit terhadap Lembaga Tabung Haji,” katanya.


