JKN Kedah perjelas hantaran tular mengenai Hospital Jitra

Oleh Zihan Zari

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengambil maklum beberapa hantaran tular di media sosial berhubung penyampaian perkhidmatan di Hospital Jitra, khususnya berkaitan masa menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma serta dakwaan mengenai anggota bertugas.

JKN Kedah dalam kenyataan menjelaskan hasil siasatan mendapati seorang pesakit telah mendaftar pada 9 Oktober lalu , jam 7.30 pagi dan dikategorikan sebagai kes Zon Hijau (bukan kritikal) selepas saringan klinikal.

“Pada masa yang sama, pasukan perubatan sedang merawat seorang pesakit kritikal di Zon Merah dan dua pesakit separa kritikal di Zon Kuning.

“Situasi ini telah dimaklumkan kepada pesakit yang menunggu memandangkan keutamaan rawatan adalah berdasarkan tahap kecemasan.

“Pesakit berkenaan telah dipanggil pada jam 8.36 pagi, namun didapati telah meninggalkan jabatan tersebut, ”jelasnya.

Jelasnya lagi, dakwaan anggota tidur ketika bertugas, semakan mendapati anggota berkenaan sedang menjalankan tugas seperti yang ditetapkan.

“Isu berkenaan satu lagi video yang tular telah dikenal pasti sebagai rakaman lama sempena sambutan Hari Raya pada Mac lalu, selepas anggota terlibat selesai bertugas,”katanya.

Katanya lagi, JKN Kedah memahami kebimbangan masyarakat dan sedang melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan, termasuk mengurangkan masa menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Jitra.

“JKN Kedah menghargai keprihatinan orang ramai dan kekal komited dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang selamat, cekap dan berkualiti, ”ujarnya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat