Jangan kelirukan rakyat mengenai isu RCI Tabung Haji guna pentas Musyawarah Nasional – Tun Faisal

KUALA LUMPUR – Musyawarah Nasional 2.0 bertemakan “Realiti & Persepsi : Jangan Mempolitikkan Tabung Haji” ditegur kerana tidak sepatutnya menjadi pentas untuk mempolitikkan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, apatah lagi mengelirukan rakyat dengan gambaran seolah-olah Jabatan Audit Negara (JAN) menyatakan Tabung Haji tiada masalah dan hanya RCI yang mendakwa sebaliknya.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan, hakikatnya JAN sendiri telah membangkitkan isu-isu material dalam penyata kewangan Tabung Haji, manakala semakan kewangan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) pula mengenal pasti isu yang lebih luas.

RCI pula menilai keseluruhan perkara berdasarkan dokumen, keterangan dan bukti yang dikumpul.

Perbezaan pandangan antara JAN dan RCI hanyalah berkaitan tahap keseriusan masalah serta cara ia sepatutnya diterjemahkan dalam penyata kewangan dan pendapat audit.

“JAN tidak pernah mengatakan Tabung Haji ‘tiada masalah’. Bagi tahun kewangan 2017, JAN sendiri membangkitkan kegagalan merekodkan rosot nilai pelaburan berjumlah RM227.81 juta, di mana sebahagian besarnya melibatkan TH Heavy Engineering Berhad.

“JAN juga membangkitkan ketidakkonsistenan polisi rosot nilai aset kewangan yang telah diubah sebanyak dua kali pada tahun berkenaan,” katanya.

Tambahnya lagi, sekiranya piawaian perakaunan FRS 139 diterapkan sepenuhnya, terdapat tambahan rosot nilai sekitar RM1.310 bilion yang sepatutnya diambil kira, satu perkara yang turut dibincangkan dalam keterangan dan analisis yang dikemukakan kepada RCI.

Tun Faisal juga menegaskan bahawa persoalan utama bukan sekadar sama ada audit telah dibuat, tetapi tahap keseriusan masalah dan kesannya terhadap pendapat audit.

Walaupun JAN memberikan pendapat audit tanpa syarat dengan Penekanan Perkara, RCI berpandangan isu yang dikenal pasti adalah lebih serius dan sepatutnya membawa kepada pendapat audit yang lebih tegas.

“Maksudnya, JAN menemui masalah. RCI pula menilai bahawa masalah tersebut mempunyai implikasi yang lebih besar terhadap kedudukan kewangan institusi itu,” tegasnya.

Beliau juga memberi amaran supaya tidak mencampuradukkan jenis audit.

Katanya, audit penyata kewangan, semakan kewangan dan audit forensik mempunyai skop yang berbeza.

Audit penyata kewangan tidak semestinya menjawab soalan berkaitan ke mana wang pergi, siapa menerima manfaat, cara transaksi dibuat, atau wujudnya salah guna kuasa dan penipuan. Perkara-perkara tersebut memerlukan mekanisme siasatan yang bersesuaian.

“Jadi, alasan ‘sudah diaudit’ bukanlah jawapan automatik kepada semua persoalan mengenai tadbir urus dan kemungkinan salah laku.

“Selain itu, setiap badan seperti RCI, JAN, Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) dan pelaksanaan audit forensik mempunyai fungsi masing-masing yang tersendiri.

“Cadangan penelitian lanjut tidak seharusnya digunakan untuk mengecilkan atau menenggelamkan dapatan RCI,” katanya.

Tun Faisal turut mengingatkan bahawa laporan RCI setebal 211 halaman yang meliputi tempoh 2014 hingga 2020 telah disediakan oleh suruhanjaya yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, dan diterbitkan secara terbuka pada 29 Julai 2026.

Laporan yang mengandungi 25 syor penambahbaikan itu juga dilaporkan telah menyaksikan sekitar 75 peratus daripadanya mula dilaksanakan sehingga 30 Julai tahun ini.

“Oleh itu, tidak wajar sama sekali memperlekehkan laporan RCI hanya kerana dapatan tidak selari dengan naratif politik pihak tertentu,” tegas beliau lagi.

Beliau menyeru semua pihak supaya berpegang teguh kepada fakta sekiranya benar-benar mahu isu Tabung Haji tidak dipolitikkan.

“Jangan gunakan taktik melengah-lengahkan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab, jangan alihkan isu, dan jangan kelirukan rakyat dengan dakwaan palsu.

“Tabung Haji adalah amanah jutaan pendeposit. Amanah sebesar ini tidak boleh diselesaikan dengan permainan persepsi. Ia mesti diselesaikan dengan fakta, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat