KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan peranan beliau ketika menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menjadi antara perkara yang dipersoalkan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurut Asyraf, beliau dimaklumkan bahawa antara persoalan yang dikemukakan SPRM ketika sesi soal siasat terhadap pihak TH baru-baru ini ialah mengenai kuasa Timbalan Menteri serta sama ada beliau terlibat dalam pertemuan-pertemuan berkaitan institusi itu.
“Walaupun saya dimaklumkan oleh Pengerusi Tabung Haji, ketika pentadbiran Tabung Haji disoal siasat oleh SPRM bahagian jenayah korporat dalam seminggu ini, soalan ini ditujukan: apakah Timbalan Menteri boleh ganti Menteri?
“Apakah Timbalan Menteri ada dalam pertemuan-pertemuan ini? Apakah Timbalan Menteri boleh terlibat dan sebagainya?” katanya ketika berucap dalam sebuah forum mengenai isu Tabung Haji.
Asyraf merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bagaimanapun, beliau menegaskan Timbalan Menteri tidak mempunyai kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri dalam urusan TH.
Menurut Asyraf, kedudukan itu dinyatakan dengan jelas dalam Akta Tabung Haji.
“Nasib baiklah, kekanda saya Datuk Seri Azeez kata dengan lawaknya, dia kata Timbalan Menteri ini hanya potong reben saja.
“Tapi sebenarnya, Akta Tabung Haji memang jelas menyebutkan bahawa hanya Menteri saja, Timbalan Menteri tidak ada kuasa,” katanya.
Pendedahan Asyraf itu dibuat ketika beliau membentangkan hujah mengenai apa yang disifatkannya sebagai perbezaan antara “persepsi dan realiti” dalam kontroversi pengurusan TH sebelum pertukaran kerajaan pada 2018.
Dalam ucapan sama, Asyraf mempertikaikan dakwaan berlaku manipulasi akaun atau creative accounting dalam TH dan menegaskan sehingga kini tiada pengerusi, ketua pegawai eksekutif atau anggota pengurusan institusi itu didakwa atas kesalahan berkenaan.
Beliau turut mempertikaikan penggunaan istilah “sakau” terhadap pengurusan TH terdahulu dengan mencabar pihak berkuasa supaya mendakwa mana-mana individu sekiranya mempunyai bukti berlaku penyelewengan atau pengambilan wang pendeposit.
“Kalau ada sebarang penyelewengan dan penyimpangan, charge, dakwa tetapi jangan aniaya. Jangan memalukan,” katanya.



