KUALA LUMPUR — Malaysia perlu terus menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran global bagi memastikan industri produk getah negara kekal berdaya saing dan terus menjadi pembekal dipercayai di peringkat antarabangsa.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, industri produk getah merupakan antara kejayaan utama sektor pembuatan negara, namun perubahan permintaan pasaran memerlukan industri bergerak lebih pantas dalam aspek teknologi, kelestarian dan inovasi.
“Kita mesti terus menyokong inovasi, menggunakan lebih banyak teknologi dan membangunkan produk getah yang lebih khusus serta bernilai tinggi.
“Kita juga mesti bergerak lebih pantas dalam teknologi digital dan melabur dalam tenaga kerja yang akan menerajui industri ini pada masa hadapan.
“Keutamaan ini selaras dengan Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Kepimpinan dan Jaringan Industri Majlis Getah Malaysia (MRC) di sini, malam ini.
Noraini berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan iaitu inovasi dan teknologi, pengukuhan rantaian bekalan serta peluasan pasaran baharu.
“Kementerian akan memberi tumpuan kepada tiga keutamaan utama. Pertama, inovasi dan teknologi. Kita mesti meningkatkan penggunaan automasi dan teknologi digital, di samping membangunkan produk getah yang lebih khusus dan bernilai tinggi.
“Untuk kekal berdaya saing, Malaysia mesti terus menyesuaikan diri dan melakukan penambahbaikan. Kita mahu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pembekal global yang dipercayai bagi produk getah yang inovatif, mampan dan berkualiti tinggi,” katanya.
Noraini berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada pengukuhan bekalan getah asli tempatan bagi memastikan pengeluar mempunyai sumber bahan mentah yang stabil.
Menurutnya, Program Konsolidasi Getah Terbiar oleh Lembaga Getah Malaysia mampu membantu meningkatkan pengeluaran getah asli dengan membawa tanah yang tidak digunakan atau kurang dimanfaatkan kembali kepada pengeluaran.
“Ini penting untuk memastikan pengeluar kita mempunyai bekalan bahan mentah yang stabil. Pada masa sama, kerajaan dan industri perlu bekerjasama serta memahami cabaran yang dihadapi bagi mencari penyelesaian yang praktikal,” katanya.
Dalam pada itu, Noraini menyambut baik kerjasama Malaysian Rubber Council (MRC) dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam usaha menghapuskan buruh paksa dalam industri getah Malaysia.
Beliau berkata, amalan buruh yang baik bukan sahaja penting dari sudut tanggungjawab sosial, malah menjadi faktor dalam membina keyakinan pasaran antarabangsa terhadap produk Malaysia.
“Amalan buruh yang baik penting dalam membina kepercayaan dengan pasaran antarabangsa.
“Saya menggalakkan syarikat dalam industri getah menyokong program pematuhan sosial MRC bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal yang dipercayai dan mampan,” katanya.
Dalam majlis yang sama Noraini menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MRC dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Monash University Malaysia.
Selain itu beliau turut menyaksikan pertukaran MoU tiga pihak melibatkan MRC, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Universiti Sains Malaysia (USM).



