KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Majlis Cendekiawan MADANI Malaysia–Indonesia (MALINDO MADANI) Kali Kedua yang berlangsung di Jakarta bermula hari ini dijangka memperkukuh jaringan kerjasama ilmu antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Program selama empat hari sehingga 23 Ogos itu dianjurkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Center for Dialogue and Cooperation among Civilizations (CDCC), Indonesia.
Ia menghimpunkan cendekiawan, pemimpin institusi dan tokoh masyarakat Malaysia serta Indonesia dalam usaha menterjemahkan hubungan serumpun kedua-dua negara kepada kerjasama institusi yang lebih tersusun dan berterusan.
Delegasi Malaysia diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.
IKIM dalam kenyataan hari ini berkata kepimpinan delegasi pada peringkat menteri mencerminkan iltizam Malaysia untuk memastikan hubungan kedua-dua negara bukan sekadar berteraskan persamaan sejarah dan budaya, sebaliknya menghasilkan manfaat nyata kepada masyarakat.
Antara agenda utama yang diketengahkan ialah gagasan Sarwa Madani sebagai cadangan kerangka perancangan strategik yang menghubungkan martabat insan, kebenaran ilmu, keadilan institusi dan tanggungjawab sosial.
Perbincangan turut memberi perhatian kepada usaha memperkukuh institusi pemikiran, penyelidikan dan pendidikan, selain peluasan kerjasama industri halal serta peranan organisasi kemasyarakatan dalam pembangunan masyarakat.
Konsep Wakaf Media turut menjadi antara fokus program sebagai pendekatan memperluas akses masyarakat kepada ilmu dan warisan peradaban.
IKIM juga akan mengetengahkan cadangan Program Wakaf Media dalam kerangka Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) untuk pertimbangan serta kerjasama pada peringkat serantau.
Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata kejayaan MALINDO MADANI tidak seharusnya dinilai berdasarkan penganjuran program semata-mata, sebaliknya melalui hasil dan kesinambungan kerjasama selepas pertemuan itu.
“MALINDO MADANI bukan sekadar pertemuan berasaskan kedekatan sejarah dan budaya. Ukuran kejayaannya ialah kesinambungan selepas program — melalui penyelidikan bersama, penerbitan, pertukaran ilmuwan dan jaringan strategik yang mampu memposisikan Malaysia dan Indonesia sebagai rakan pemacu wacana Islam kontemporari yang berwibawa di peringkat dunia,” katanya.
Menurut IKIM, butiran atur cara dan penyertaan tokoh dalam MALINDO MADANI Kali Kedua masih tertakluk kepada pengesahan akhir pihak penganjur.


