KUALA LUMPUR – Kerjasama politik di peringkat negeri tidak semestinya perlu menyalin hasil formula gabungan politik yang sama di peringkat Persekutuan.
Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, perbezaan strategi atau kerjasama dalam sesuatu pilihan raya negeri tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa Perjanjian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan telah dilanggar.
“Selepas PRU15, Perjanjian Kerajaan Perpaduan dimeterai bagi membentuk dan menjamin kestabilan Kerajaan Persekutuan sepanjang penggal Parlimen Ke-15. Kerjasama ini menghimpunkan parti-parti yang berbeza atas semangat saling menghormati tanpa menghapuskan identiti, orientasi atau pendirian politik masing-masing.
“Dalam konteks tersebut, dakwaan bahawa Umno telah ‘mengkhianati’ PKR dalam pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan tidak wajar dinilai secara terasing atau semata-mata berdasarkan keputusan politik di peringkat negeri. Dakwaan sedemikian perlu dinilai secara tenang, bertanggungjawab dan berdasarkan fakta.
“Malaysia ialah sebuah Persekutuan. Kerjasama politik di peringkat negeri tidak semestinya perlu menyalin hasil formula gabungan politik yang sama di peringkat Persekutuan. Setiap negeri mempunyai mandat dan realiti politiknya yang tersendiri dan akhirnya, rakyat di peringkat negeri juga mempunyai aspirasi masing-masing dan berhak menentukan wakil serta kerajaan pilihan mereka melalui proses demokrasi peringkat negeri,” jelas Azalina.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) menegaskan, wacana berkenaan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan sepatutnya menumpu kepada kebolehannya dalam melaksanakan komitmennya kepada rakyat.
Lanjutan daripada itu kata beliau, Kerajaan Perpaduan sepatutnya meneruskan pelaksanaan komitmen kepada rakyat dalam baki masa Parlimen ke-15 , sepertimana yang dijanji dalam manifesto blok politik masing-masing pada PRU15 yang lalu.
“Umno kekal komited terhadap kestabilan Kerajaan Persekutuan dan akan terus menghormati perjanjian yang telah dimeterai. Sebarang perbezaan yang wujud di peringkat Persekutuan perlu diurus secara matang agar tidak menjejaskan pentadbiran dan keyakinan rakyat.
“Keutamaan kita mestilah memastikan Kerajaan Persekutuan terus stabil, agenda reformasi dilaksanakan dan kesejahteraan rakyat sentiasa didahulukan sehingga ke penghujung penggal,” kata Azalina lagi.



