KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan kehadiran seseorang di premis itu tidak semestinya bermaksud individu tersebut sedang memohon atau akan diberikan MyKad.
JPN menegaskan demikian, susulan mengambil maklum hantaran yang tular di media sosial yang memaparkan kehadiran individu warga asing di premis JPN dan mengaitkannya dengan urusan membuat kad pengenalan.
“Untuk makluman, kehadiran seseorang di premis JPN tidak semestinya bermaksud individu tersebut sedang memohon atau akan diberikan MyKad. JPN menyediakan pelbagai perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi yang turut melibatkan individu bukan warganegara, bergantung kepada jenis urusan yang dijalankan.
“JPN juga telah memberikan penjelasan berhubung isu yang hampir sama pada Jun lalu, khususnya mengenai kekeliruan yang mengaitkan pendaftaran kelahiran individu bukan warganegara dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia.
“Sijil kelahiran berwarna merah jambu merupakan bukti bahawa sesuatu kelahiran telah didaftarkan di Malaysia. Ia bukan bukti bahawa individu tersebut merupakan warganegara Malaysia.
“Sijil ini turut dikeluarkan kepada individu berstatus bukan warganegara, termasuk mereka yang tidak memenuhi syarat untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia.
“Ini kerana setiap kelahiran yang berlaku di Malaysia perlu didaftarkan tanpa mengira sama ada ibu atau bapa kanak-kanak tersebut merupakan warganegara atau bukan warganegara,” jelas JPN dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Menurut jabatan itu, pendaftaran ini penting bagi memastikan setiap kelahiran direkodkan secara rasmi dan tidak bermaksud kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada individu berkenaan.
“Begitu juga, terdapat pelbagai urusan lain di JPN yang sememangnya melibatkan bukan warganegara, termasuk urusan pendaftaran kelahiran serta perkahwinan sivil dengan pasangan bukan warganegara.
“Justeru, jangan membuat kesimpulan hanya berdasarkan kehadiran seseorang di JPN atau berdasarkan sekeping gambar tanpa mengetahui urusan sebenar yang sedang dijalankan.
“Mari kita sama-sama memahami sesuatu isu berdasarkan fakta, konteks dan penjelasan yang tepat, bukan semata-mata berdasarkan persepsi daripada sekeping gambar atau video rakaman yang tidak jelas,” tegas JPN.



