Kabinet lulus 17 syor perkukuh keselamatan KLIA dan pintu masuk antarabangsa lain

PUTRAJAYA — Jemaah Menteri meluluskan 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan dan pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu masuk antarabangsa negara.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan, kelulusan itu dibuat Jemaah Menteri semalam menerusi Memorandum Bersama kedua-dua kementerian.

Daripada 17 syor berkenaan, enam tindakan segera atau Quick Wins akan diberi keutamaan dalam fasa jangka pendek.

Antaranya ialah pelaksanaan saringan bersasar berasaskan risiko dengan meningkatkan pemeriksaan terhadap penerbangan, penumpang, kru dan bagasi yang dikenal pasti mempunyai risiko keselamatan.

Kerajaan juga akan memperkukuh prosedur e-Vetting dan kawalan akses terhadap kru penerbangan, kakitangan syarikat penerbangan, petugas operasi dan pengendalian darat, pekerja pengendali lapangan terbang, vendor serta kontraktor yang mempunyai akses ke kawasan keselamatan terhad.

Saringan dadah terhadap personel penerbangan termasuk juruterbang, kru kabin dan kakitangan berkaitan turut diperkukuh menerusi saringan pra-pengambilan, berkala serta secara rawak.

Kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi strategik pula akan dipertingkatkan sebagai langkah pencegahan, termasuk penambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi setiap syif penugasan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.

Dua lagi langkah segera melibatkan pengukuhan penyelarasan serta perkongsian maklumat keselamatan dan risikan melalui National Immigration Command Centre (NICC), selain penubuhan Jawatankuasa Teknikal KDN-MOT.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha KDN dan Ketua Setiausaha MOT bagi menyelaras tindakan, menyelesaikan isu rentas agensi serta memantau pelaksanaan keseluruhan pelan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, baki syor akan dilaksanakan secara berperingkat dalam fasa jangka sederhana dan panjang.

Fasa jangka sederhana memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi, aset dan sumber manusia, manakala fasa jangka panjang melibatkan transformasi sistem, perkongsian maklumat dan tadbir urus serta peluasan pelaksanaan ke pintu masuk antarabangsa lain.

Pelan tindakan berkenaan dirangka susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara, termasuk penahanan seorang warganegara Malaysia di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah.

Beberapa insiden keselamatan berprofil tinggi turut mendorong kerajaan menilai semula dan menambah baik sistem kawalan di pintu masuk negara secara menyeluruh.

KLIA akan dijadikan lokasi perintis pelaksanaan pelan itu sebelum diperluaskan secara berperingkat ke pintu masuk antarabangsa lain berdasarkan tahap ancaman, keperluan operasi dan kesesuaian setiap lokasi.

KDN dan MOT berkata kerajaan komited memastikan semua syor dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berlandaskan undang-undang dengan mengambil kira hak individu, perlindungan data serta kepentingan penumpang dan industri penerbangan.

Langkah berkenaan dijangka memperkukuh keselamatan negara dan integriti pintu masuk antarabangsa, selain mengekalkan keyakinan rakyat, pelancong serta komuniti penerbangan antarabangsa terhadap sistem keselamatan Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat