KUALA LUMPUR – Kesalahan Tabung Haji (TH) dijadikan tajuk utama kerana jenama Islamnya menjadi sasaran, kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun kata Hadi, mereka yang berjasa menjayakan Tabung Haji adalah lebih ramai berlipat kali ganda jumlahnya, namun dibesarkan segelintir yang salah laku bagi membesarkan keaiban Melayu Islam dengan niat yang jahat.
“Kita tidak menafikan adanya institusi kewangan Islam yang menyeleweng dan mengalami salah laku, tetapi institusi perniagaan seperti GLC dan lain-lain yang berlipat kali ganda salah laku serta rasuahnya disembunyikan di bawah karpet.
“Adapun kes terowong Pulau Pinang, bicaranya separuh jalan, kemudian diam membisu, malah jarang sekali dibunyikan apabila ada suara menyebutnya.
“Terlalu banyak institusi perniagaan milik kerajaan dan separa kerajaan yang mengalami kerugian kerana kebocoran di bawah seseorang yang disebut-sebutkan sebagai Menteri Kewangan terbaik, termasuk kalangan yang berpolitik sekular yang berpisah daripada agama dengan menyalahgunakan kedudukan politik mereka.
“Golongan yang paling ramai diambil tindakan ialah pihak yang berjenama Melayu dan Islam daripada yang paling besar sehinggalah paling kecil bagi merendahkan imej Islam, seolah-olah tidak ada daripada kalangan bukan Islam dan bukan Melayu.
“Padahal kegiatan ekonomi lebih banyak daripada bukan Islam dan bukan Melayu, khususnya yang bersaiz mega yang menjadi penyumbang rasuah,” tegas beliau.
Ahli Parlimen Marang itu menyebut, ada kalangan pembayar rasuah yang berskala besar bebas masuk ke pintu paling atas tanpa halangan kerana diberikan laluan untuk bertemu dengan sesiapa sahaja.
“Adapun kalangan penganut Islam yang terlibat dalam rasuah tidak seramai orang bukan Islam kerana mereka dikawal oleh akidah dan iman yang dipercayai adanya dosa di sisi Allah.
“Walaupun bebas daripada undang-undang ciptaan manusia, mereka pasti akan dihukum selepas meninggal dunia dan dihidupkan semula di alam akhirat kelak,” kata Hadi lagi.
Tambahnya, rasuah juga berlaku dalam pembahagian subsidi kepada kalangan miskin seperti petani dan nelayan kerana adanya kartel-kartel mega bukan Melayu yang menjadi pembekalnya.
“Mereka adalah daripada kalangan bukan Islam yang paling ramai mengambil peluang di sebalik bantuan kemiskinan yang gagal mengatasi masalah kemiskinan.
“Semua kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pas bersama Islam, khususnya di Kelantan selama lebih 30 tahun bersih daripada rasuah dan salah laku, walaupun dalam keadaan menghadapi tekanan kerana konsep federalisme dan perjanjian antara negeri dengan persekutuan yang tidak dihormati, di samping banyak haknya dinafikan, termasuk terhadap Ahli-ahli Parlimen pembangkang.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam sepenggal sahaja sudah kedengaran suara salah laku yang dinyanyikan. Maka, pengisytiharan perangnya terhadap rasuah hanya gendang kosong yang kuat bunyinya sahaja, termasuk tempikan adanya sakau yang hanya seperti makhluk ghaib yang disebut namanya, namun tidak kelihatan makhluknya.
“Maka, tempikan slogan perangi rasuah dan memburu sakau sampai ke lubang cacing laksana pencuri yang melepaskan diri dengan sama-sama melaungkan, “Pencuri! Pencuri!” bersama pemburunya bagi helah melepaskan dirinya,” bidas beliau.
Hadi mengingatkan, ercayalah bahawa parti yang memilih pemimpin dengan rasuah akan menjadi kerajaan yang kalah melawan rasuah.
“Negara Amerika Syarikat yang dijadikan kiblat sebagai pihak paling kaya bawah pengaruh Zionis kini memilih yang bodoh dan banyak rasuah menjadi pemimpin kerana kekayaannya, bukan kerana ilmu dan akhlaknya.
“Mencegah rasuah termasuk dalam perkara nahi mungkar yang disenaraikan bersama urusan ibadat diri dan harta serta berkebajikan dalam masyarakat.
“Malangnya apabila kesalahan rasuah dijadikan senjata untuk menjatuhkan lawan, bukan untuk mencegah kemungkaran kerana pihak berkuasa juga terlibat dalam rasuah yang menjadi perangai kaum Yahudi sehingga melibatkan para agamawan mereka.
“Isu rasuah dijadikan modal politik untuk menjatuhkan lawan, bukan kemungkaran yang hendak dicegah. Hal ini berlaku apabila dilakukan tindakan secara terpilih terhadap lawan dengan membiarkan diri sendiri bergelumang dengan rasuah, sama ada menjadi penerima, pelindung kepada penyumbang rasuah, ataupun perantaraannya dengan alasan yang berputar belit.
“Segala-galanya boleh berlaku apabila tidak lagi berpegang pada Islam yang menjadi petunjuk Allah,” ujar Hadi.



