KUALA LUMPUR- Pemandu lori Jabatan Imigresen yang terbabit kemalangan maut mengorbankan tiga beranak di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi semalam, digantung tugas sementara waktu.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu diambil sehingga kes selesai bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kejadian.
“Tindakan segera jabatan kita menggantung tugas pemandu sehingga kes berkenaan selesai.
“Kita memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam kes ini.
“Kita juga sedang melakukan siasatan dalaman daripada aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya menurut Harian Metro pada Khamis.
Semalam media melaporkan tiga sekeluarga yang sedang berjalan kaki maut selepas dilanggar lori Isuzu ‘Black Maria’ Jabatan Imigresen yang terbabas, dipercayai dalam perjalanan dari Pejabat Imigresen Kuala Lumpur menuju Chow Kit.
Mereka ialah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, manakala isteri Shaik Mohd Firdaus yang berusia 55 tahun kritikal.



