MELAKA – Ancaman sebenar kepada masa depan sesuatu kaum bukanlah kehadiran kaum lain, sebaliknya kemiskinan dan masalah sosial termasuk penyalahgunaan dadah yang merosakkan generasi muda.
Naib Presiden PKR yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, politik identiti dan perkauman perlu dihentikan kerana pendekatan itu tidak membawa sebarang keuntungan kepada negara.
Sebaliknya, beliau mengajak rakyat menilai sesebuah kerajaan berdasarkan prestasi ekonomi dan keupayaannya meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Jangan bertarung dalam gelanggang politik identiti atau perkauman kerana tiada pemenang di situ.
“Kita ajak rakyat menilai kita berasaskan politik prestasi, iaitu prestasi ekonomi dan kebajikan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kepelbagaian kaum dan agama merupakan realiti Malaysia yang perlu diterima, bukannya dijadikan instrumen untuk menimbulkan ketakutan.
“Identiti Melayu, Islam, Cina, India, Sabah dan Sarawak semuanya sebahagian daripada realiti Malaysia.
“Identiti tidak salah. Masalah timbul apabila identiti digunakan untuk membina ketakutan,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI dan kepimpinan PKR perlu memberikan tumpuan kepada tiga pendekatan utama, dimulai dengan memacu pertumbuhan ekonomi menerusi konsep “membesarkan talam rezeki” supaya manfaatnya dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
Menurutnya, bantuan juga perlu disalurkan berdasarkan keperluan sebenar rakyat tanpa mengira kaum, selain meneruskan agenda tatakelola yang baik dan membanteras rasuah.
“Politik kita adalah untuk membesarkan talam rezeki. Kita tidak perlu merampas hak sesiapa untuk memastikan anak-anak kita kenyang,” katanya.
Pada masa sama, Saifuddin Nasution menggesa seluruh anggota PKR menyebarkan pencapaian pentadbiran Kerajaan MADANI dan memberikan perhatian khusus kepada pengundi muda menjelang pilihan raya akan datang. – BERNAMA


