Kalah di mahkamah, pihak biara enggan keluar, rayu Anwar campur tangan

IPOH – Pengurusan Biara Gua Sakyamuni di Gunung Kanthan masih enggan mengosongkan tanah berkenaan meskipun perintah pengosongan yang memihak kepada pemegang pajakan berdaftar kekal berkuat kuasa.

Pada September 2023, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pemegang pajakan untuk mendapatkan kembali tanah tersebut selepas memutuskan pihak biara gagal membangkitkan sebarang isu yang wajar dibicarakan.

Pihak biara kemudian memohon kebenaran merayu, namun permohonan itu ditolak sebulat suara oleh Mahkamah Persekutuan pada 28 Februari 2024.

Bagaimanapun, dalam sidang media di Petaling Jaya pada 11 Ogos lalu, pihak biara merayu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya campur tangan bagi menghalang pengosongan dan kemungkinan perobohan rumah ibadat berkenaan.

Peguam pihak biara, N Surendran berkata, Anwar boleh membantu menyelesaikan isu tersebut kerana beliau bukan sahaja Perdana Menteri, malah Ahli Parlimen Tambun yang mewakili kawasan itu.

Pihak biara turut meminta kerajaan Persekutuan mengisytiharkan rumah ibadat dan kawasan bukit di sekitarnya sebagai tapak warisan negara atas alasan biara tersebut telah wujud lebih 100 tahun serta mempunyai nilai sejarah, keagamaan dan kebudayaan.

Ketua sami, Bhante Kusala berkata, permohonan mendapatkan status warisan telah dibuat beberapa kali tetapi masih belum diluluskan.

“Kami ada satu ikrar, tidak kira apa yang berlaku, kami akan mempertahankan tempat ibadat kami yang suci,” katanya dalam sidang media tersebut.

Sementara itu, seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang enggan dikenali mempersoalkan tindakan pihak biara mendapatkan campur tangan politik selepas gagal dalam proses rayuan di mahkamah.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sewajarnya dihormati serta dilaksanakan oleh semua pihak.

“Isunya bukan lagi soal agama atau nilai sejarah semata-mata. Dalam negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, keputusan mahkamah mesti dihormati walaupun keputusan itu tidak memihak kepada kita.

“Lebih membimbangkan apabila selepas gagal melalui proses mahkamah, pihak biara kini merayu Perdana Menteri supaya campur tangan bagi menghalang pengosongan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada keputusan mahkamah yang telah melalui proses sehingga ke peringkat tertinggi wajar cuba diketepikan menerusi pengaruh politik.

“Jika perkara seperti ini dibenarkan, ia boleh mewujudkan duluan yang tidak sihat. Pihak yang kalah di mahkamah mungkin merasakan mereka masih boleh mendapatkan campur tangan politik untuk mengelakkan keputusan tersebut dilaksanakan.

“Nilai sejarah, agama dan warisan boleh dipertimbangkan melalui saluran undang-undang yang sah. Tetapi politik tidak sepatutnya digunakan untuk mengatasi keputusan mahkamah,” katanya.

Menurutnya, penghormatan terhadap mahkamah dan undang-undang merupakan asas kepada kedaulatan negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat