Anwar pilih kekal bersama BN, namun PKR bersedia hadapi sebarang kemungkinan

MELAKA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendiriannya untuk meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan UMNO demi mempertahankan kestabilan politik serta kemakmuran negara.

Bagaimanapun, Perdana Menteri memberikan bayangan bahawa Pakatan Harapan (PH) dan PKR bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya perkembangan politik memerlukan mereka mengambil pendirian lebih tegas.

“Pilihan mereka, biar mereka jawab! Dan kita sebagai satu parti perjuangan, apa-apa pun kita bersedia. Kalau terpaksa langgar, kita terpaksa langgar,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Anwar berkata, keputusannya adalah untuk memilih kestabilan, kemakmuran rakyat dan meneruskan kerjasama dengan BN serta UMNO di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Namun, beliau berkata, pendirian yang bakal diambil UMNO dan BN selepas ini terserah kepada kepimpinan kedua-dua parti berkenaan.

Presiden PKR itu pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya menggunakan kebijaksanaan dan tidak mengambil langkah keterlaluan sehingga boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, pembentukan Kerajaan Perpaduan merupakan hasil kesedaran politik dan kecintaan kepada negara yang mengutamakan kestabilan serta kemakmuran rakyat, bukannya politik berasaskan perpecahan atau emosi.

Beliau turut mengakui terdapat beberapa perkembangan di peringkat negeri yang menimbulkan persoalan dan tidak dimaklumkan lebih awal kepada PKR.

Bagaimanapun, Anwar berkata, setakat ini beliau belum mendengar sebarang pandangan negatif di peringkat Kerajaan Persekutuan berhubung penerusan kerjasama berkenaan.

Menggunakan perumpamaan, beliau memberi bayangan bahawa keadaan sebenar di sebalik sesuatu perkembangan politik mungkin tidak diketahui secara terbuka.

“Terbakar kampung nampak asap, terbakar hati siapa yang tahu?” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak menilai setiap langkah politik secara waras, penuh hikmah dan berpandukan kepentingan negara supaya keputusan tidak dibuat secara gopoh atau keterlaluan.

Anwar turut menegaskan hubungan peribadinya dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih baik dan percaya sebarang perbezaan boleh dibincangkan secara persahabatan.

Perdana Menteri turut berterima kasih kepada DAP, Amanah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana menyatakan sokongan supaya hubungan sedia ada dalam Kerajaan Perpaduan diteruskan.

“Saya ucap terima kasih. Permintaan mereka teruskan hubungan sehingga akhir penggal, jalankan tugas dengan baik, jaga kestabilan dan angkat kemajuan serta ekonomi negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat