STR Fasa 3 sudah mula dikreditkan ke dalam akaun penerima bermula semalam

KUALA LUMPUR – Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 sudah mula dikreditkan ke dalam akaun para penerima bermula semalam kepada 5.3 juta orang.

STR kali ini meningkat 300,000 berbanding 5 juta penerima pada awal tahun lalu.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan media semalam menyatakan Kerajaan MADANI memperuntukkan RM1.2 bilion bagi pembayara STR Fasa 3.

Daripada jumlah penerima itu, 3.9 juta adalah isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah, manakala 1.4 juta lagi adalah warga emas yang tiada pasangan.

Bagi Fasa 3, penerima akan menerima bayaran antara RM150 hingga RM600 bergantung kepada pendapatan dan bilangan anak, manakala warga emas tiada pasangan menerima RM150.

Jumlah keseluruhan STR yang disalurkan bagi tiga fasa pada 2026 kini mencecah RM3.6 bilion.

Bergantung kepada kategori kelayakan, penerima boleh menerima bantuan sehingga RM3,300 secara terkumpul setakat Ogos 2026, melalui STR Fasa 1 hingga Fasa 3 serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan.

Jumlah itu tidak termasuk pemberian SARA Untuk Semua secara sekali bayar kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Mulai 2026, bantuan kepada rakyat distrukturkan supaya sokongan diterima secara lebih teratur sepanjang tahun, dengan STR disalurkan secara suku tahunan, manakala SARA menyediakan bantuan keperluan asas secara bulanan kepada penerima yang layak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipetik dalam kenyataan itu berkata kerajaan akan terus memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang memerlukan ketika kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian rakyat.

“Dalam keadaan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada sebahagian rakyat, kerajaan akan terus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan. Sebab itu jumlah isi rumah yang menerima STR meningkat daripada 3.7 juta pada awal tahun kepada 3.9 juta bagi Fasa 3.

“STR dan SARA membantu meringankan keperluan rakyat hari ini, sementara kerajaan terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh ekonomi bagi meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat. Matlamat kita bukan sekadar memberi bantuan, tetapi memastikan kehidupan rakyat bertambah baik,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan berkenaan.

Penstrukturan semula kewangan kerajaan serta penambahbaikan tatakelola membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.

Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi 2026 berjumlah RM15 bilion, iaitu yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan dan hampir tiga kali ganda berbanding pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016.

Penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing mulai hari ini.

Penerima yang tidak mempunyai akaun bank pula boleh mendapatkan bayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di seluruh negara.

Bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi STR.

MoF turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan serta hanya merujuk portal rasmi STR untuk mendapatkan maklumat terkini.

Soalan lazim (FAQ) STR disediakan melalui portal berkenaan, manakala FAQ SARA boleh disemak menerusi portal rasmi SARA.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat