Lagu Tiwikarma menang AJL40 dan rangkul RM100,000 dan trofi

KUALA LUMPUR – Lagu Tiwikarma nyanyian K.O.I dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-40 (AJL40) dalam acara akhir industri muzik berprestij di Malaysia malam tadi di Unifi Arena Bukit Jalil, di sini.

Lagu berkenaan dicipta oleh komposer Zai Hamzah dan Hemo Globin dengan lirik oleh Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam.

Gelaran juara AJL ke-40 itu membolehkan K.O.I memenangi trofi AJL dan wang tunai berjumlah RM100,000

Lagu itu mematikan saingan hebat iaitu lagu Lemah nyanyian Dayang Nurfaizah dan Kamu dendangan Aina Abdul.

Lumangad Oku Dika ciptaan dan nyanyian Ryenald Guntabid pula menduduki tempat ketiga, sekali gus melayakkan penyanyi kelahiran Sabah itu menerima trofi dan wang tunai RM30,000.

Sementara itu, Marsha Milan meraih Vokal Terbaik menerusi lagu Tangisan Seorang Pendosa, sekali gus membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.

Bagi kategori Persembahan Terbaik pula menjadi milik Aina Abdul menerusi persembahan berkonsepkan gunung berapi, yang melayakkannya menerima trofi dan wang tunai RM12,000.

Trofi kemenangan disampaikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut berada di pentas, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima serta Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof.

Aina turut dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee, membawa pulang wang tunai RM50,000, selain dipilih mewakili Malaysia pada Eurovision Asia 2026.

Ketua Juri bagi AJL40 ialah Datuk Acis bersama barisan juri profesional terdiri daripada SM Muzaffar, Efry, AG Coco, Siti Hajar, Ad Samad, LY, Pat Ibrahim dan Helen Yap.

Selepas empat dekad penganjuran, AJL terus menjadi antara acara muzik tahunan berprestij negara dengan matlamat memartabatkan industri muzik tempatan, khususnya memberi pengiktirafan kepada komposer dan penulis lirik.

Sepuluh finalis yang berentap adalah Dayang Nurfaizah yang mempertaruhkan lagu Lemah, Aina Abdul (Kamu), Marsha Milan (Tangisan Seorang Pendosa), Wani Kayrie (Cak Cak Cekuk), K.O.I (Tiwikarma), Amir Masdi (Nurcinta), Aisha Retno (Tak Adil), Hazama (Semacam Pandora) serta Ryenald Guntabid menerusi Lumangad Oku Dika.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat