Lebih 148,000 rakyat Sabah sertai Kempen Internet Selamat sejak 2025

KALABAKAN – Lebih 148,300 peserta di seluruh Sabah telah menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) sejak dilancarkan pada Januari 2025 menerusi pelbagai program advokasi dan pendidikan digital.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, usaha itu diteruskan menerusi Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Daerah Kalabakan edisi Bulan Kebangsaan yang menghimpunkan lebih 500 penduduk Kalabakan dan kawasan sekitarnya di FELDA Umas, pada Sabtu.

Menurut MCMC, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab, khususnya dalam menghadapi ancaman jenayah siber yang semakin dekat dengan kehidupan seharian.

Bersempena sambutan Bulan Kebangsaan, mesej keselamatan Internet disampaikan menerusi pendekatan mesra komuniti dengan menggabungkan elemen patriotisme melalui Merdeka Fun Run, Pertandingan Busana Citra Malaysia dan Sukaneka Rakyat.

Pendekatan itu bertujuan menjadikan advokasi keselamatan digital lebih dekat, mudah difahami dan relevan kepada masyarakat setempat.

Karnival berkenaan disempurnakan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Kesedaran mengenai penipuan dalam talian menjadi antara tumpuan utama program apabila Bank Negara Malaysia (BNM) berkongsi maklumat mengenai taktik scam kewangan, ancaman penyamaran identiti serta langkah yang boleh diambil orang ramai bagi melindungi diri.

Menurut MCMC, pengetahuan berhubung modus operandi penipuan penting bagi membolehkan masyarakat mengenal pasti risiko lebih awal dan mengelakkan kerugian kewangan yang boleh menjejaskan kesejahteraan individu serta keluarga.

Pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Tabung Haji dan Sains Xplor turut menyertai karnival berkenaan.

Agensi terbabit menyediakan maklumat, khidmat nasihat dan perkhidmatan berkaitan keselamatan digital, perlindungan kewangan, pendidikan serta kesejahteraan sosial kepada komuniti setempat.

MCMC berkata, pelaksanaan KIS di Kalabakan merupakan sebahagian usaha memperluaskan advokasi keselamatan digital sehingga ke peringkat akar umbi, khususnya kepada masyarakat luar bandar dan kawasan di luar pusat bandar utama.

Dalam era ekonomi digital, keselamatan Internet bukan lagi sekadar isu teknologi, sebaliknya berkait secara langsung dengan keupayaan rakyat melindungi maklumat peribadi, simpanan serta kesejahteraan keluarga daripada ancaman jenayah siber.

Justeru, masyarakat perlu dilengkapi pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi supaya teknologi dapat digunakan secara selamat, yakin dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat