Danny Haykal genggam Anugerah Pengarah POLIMAS, usaha dan kerja keras dominasi pentas TVET

Oleh Zihan Zari

ARAU – Tiada apa yang mustahil jika disiplin tinggi dan pengorbanan tanpa jemu menjadi taruhan. Sesuatu cita-cita atau kejayaan tidak akan tercapai tanpa usaha dan kerja keras, sepertimana peribahasa Melayu “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.

Itu pembuktian anak seorang juruhias, Danny Haykal Hafiz, apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengarah Sesi I:2025/2026 pada Istiadat Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Utara Sidang 5 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), dekat sini, baru-baru ini.

Graduan cemerlang Diploma Kejuruteraan Elektrik dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) ini telah membuktikan dominasi luar biasa sepanjang enam semester apabila mengekalkan rekod bersih dengan meraih Anugerah Ketua Jabatan berturut-turut.

Jadi Inspirasi Adik-Beradik

Bagi ibunya, Norzaharina Ab Halim, kejayaan anak sulung daripada dua beradik itu amat menyentuh hati dan di luar jangkaan keluarga.

“Saya benar-benar tidak menyangka Danny Haykal akan dipilih menerima anugerah tertinggi ini. Sebagai anak sulung, kejayaannya hari ini pasti akan menjadi tangkal azimat dan sumber inspirasi terbaik untuk adiknya mencontohi jejak langkah si abang,” katanya yang merupakan seorang suri rumah dari Perlis.

Danny Haykal yang merupakan bekas penuntut Sekolah Kebangsaan (SK) Kayang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, Perlis, menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada sistem sokongan utamanya.

“Kejayaan ini adalah milik ibu bapa dan semua pensyarah POLIMAS yang tidak pernah penat membimbing saya. Minat saya amat mendalam dalam bidang elektrik.

“Insya-Allah, saya akan meneruskan perjuangan ini ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang yang sama,” katanya yang berharap POLIMAS terus ampuh melahirkan pakar teknikal negara.

Karakter Holistik: Jaguh Sukan, Seni Pertahanan Diri & Kepimpinan

Bukan sekadar ‘ulat buku’, Danny Haykal ialah definisi sebenar modal insan holistik yang aktif dalam pelbagai portfolio berprestij.

Ini terbukti melalui kepimpinan tertinggi apabila beliau diberi amanah memegang jawatan sebagai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sektor Kelab & Persatuan serta Pengarah Operasi Jawatankuasa Suruhanjaya Perwakilan Pelajar di bawah kepimpinan YDP Luqman Hakim.

Danny Haykal turut aktif dalam bidang sukan dan inovasi digital dengan membantu kontinjen POLIMAS meraih tempat ketiga acara e-sports (Mobile Legends) dan memenangi pingat emas acara tarik tali dalam kejohanan Kasumas.

Selain itu, beliau aktif dalam sukan pertahanan diri Taekwondo dan merupakan pemegang tali pinggang hijau (Gred ke-6)
International Taekwon-Do Federation (ITF).

Dalam bidang kebajikan pula , beliau telah menabur bakti dan menjalankan amanah sebagai Bendahari Rakan Pusat Islam dan Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi empat sesi Minggu Suai Kenal pelajar baharu POLIMAS.

Pengorbanan Keluarga Teras Kejayaan

Penyampaian anugerah tertinggi itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Hj. Ulaimi Yahya.

Ulaimi berkata kejayaan hari ini adalah hasil ‘saham’ pengorbanan ibu bapa dan setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada semua keluarga yang menjadi sumber kekuatan tidak putus-putus.

“Semoga para graduan terus melakar kecemerlangan, membanggakan keluarga, dan menyumbang kepada masyarakat sebagai insan yang berilmu serta berakhlak,” katanya.

POLIMAS Lahirkan 876 Graduan, Dominasi Teknologi Robotik Global

Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman mendedahkan institusi tersebut telah berjaya melahirkan seramai 876 graduan merangkumi bidang Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, serta Perdagangan.

Ujarnya, graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) POLIMAS kini dilatih menggunakan pendekatan hibrid termasuk integrasi Kecerdasan Buatan (AI) serta platform digital imersif dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bagi memenuhi standard industri moden.

“Tahniah kepada semua ibu bapa. Kejayaan para graduan melakar sejarah peribadi pada hari ini adalah berkat doa restu dan air mata pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan sekalian,”ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, keberkesanan silibus di POLIMAS secara rasminya telah dinaik taraf sebagai Politeknik Premier, sekali gus melonjakkan institusi berkenaan ke dalam kelompok elit politeknik terbaik Malaysia terbukti menerusi beberapa pencapaian yang bertaraf global sepanjang tahun.

Antaranya, dinobatkan sebagai MYBOT Master (All Challenge Champion) sekali gus menjulang gelaran juara Keseluruhan kategori MyBOT di Kejohanan 19th Malaysia FIRA Cup 2026.

POLIMAS turut menerima Anugerah Tertinggi POLYCC dengan berjaya merangkul anugerah TVET Star POLYCC 2025 menerusi penganjuran program TVET Future Leaders.

Selain itu di pentas antarabangsa, POLIMAS telah mewakili Malaysia dan berhasil meraih tempat ke-3 keseluruhan dalam Pertandingan Kemahiran Unmanned Aerial Vehicle (UAV) China-Asean 2026 di Guizhou, Republik Rakyat China.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat