KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menuntut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memperjelaskan kenyataannya yang didakwa memberi gambaran bahawa pembekuan peruntukan kawasan terhadap segelintir Ahli Parlimen berpunca daripada penyalahgunaan dana untuk kepentingan peribadi.
Rodziah berkata, beliau terpanggil memberi penjelasan selepas Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang menerima banyak maklum balas susulan kenyataan berkenaan, lebih-lebih lagi apabila peruntukan bagi kawasannya telah dibekukan sejak Julai lalu.
Menurutnya, kenyataan tersebut boleh menimbulkan persepsi terhadap integriti beliau serta pengurusan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang.
“Adakah tuduhan penyalahgunaan itu ditujukan kepada saya, kepada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang, atau kepada mana-mana wakil rakyat lain yang telah dibekukan peruntukan mereka?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mencabar Fahmi supaya mengemukakan secara terbuka sebarang bukti sekiranya benar wujud penyalahgunaan yang menjadi asas kepada keputusan membekukan peruntukan berkenaan.
Katanya, bukti tersebut termasuk butiran transaksi, jumlah yang dipertikaikan serta tarikh berlakunya penyelewengan yang didakwa.
“Sekiranya benar terdapat penyalahgunaan yang menjadi asas bagi pembekuan peruntukan tersebut, saya menggesa segala bukti sama ada butiran transaksi, jumlah yang dipertikaikan, tarikh kononnya berlaku penyelewengan dan sebagainya didedahkan kepada umum,” katanya.
Rodziah menegaskan peruntukan kawasan bukan wang milik peribadi Ahli Parlimen, sebaliknya dana rakyat yang tertakluk kepada beberapa lapisan tadbir urus dan pemantauan.
Menurut beliau, ia tertakluk kepada peraturan Kementerian Kewangan, audit tahunan Jabatan Audit Negara serta pemantauan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Katanya, setiap perbelanjaan mempunyai rekod dan bukti serta boleh diperiksa oleh pihak berwibawa pada bila-bila masa.
Justeru, sekiranya dakwaan berhubung penyalahgunaan itu tidak berasas atau berpunca daripada tafsiran yang terpesong, Rodziah menuntut Fahmi menarik balik kenyataannya dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menurutnya, permohonan maaf itu bukan sahaja perlu dibuat kepada beliau tetapi juga kepada penduduk Ampang kerana reputasi mereka turut terkesan akibat persepsi yang timbul.
Dalam kenyataan sama, Rodziah yang merupakan wakil rakyat kerajaan turut melontarkan kritikan terhadap pentadbiran MADANI dengan mempersoalkan sama ada prinsip reformasi, keadilan dan kesaksamaan yang diperjuangkan sebelum ini masih dipertahankan selepas berada di tampuk kuasa.
“Melihat situasi dan realiti di lapangan hari ini, hanya doa dan harapan sahajalah yang saya mampu titipkan.
“Persoalannya, sekiranya prinsip dan nilai ini diketepikan malah dilupakan bila kita berada di puncak, apa bezanya kita dengan mereka yang kita gantikan?” soalnya.
Beliau turut menegaskan penduduk Ampang tidak seharusnya dijadikan “bidak politik” dalam pertikaian berhubung peruntukan kawasan.
“Hak mereka kepada peruntukan kawasan bukan bahan mainan apatah lagi senjata untuk tawar-menawar politik,” katanya.
Rodziah berkata, beliau akan terus memperjuangkan hak penduduk Ampang sama ada peruntukan kawasan berkenaan dikembalikan atau sebaliknya.
“Selagi saya diberi kepercayaan menjadi wakil mereka, selagi itulah saya akan terus bersuara dan berjuang untuk mempertahankan hak dan maruah mereka sama ada dengan atau tanpa peruntukan kawasan yang sememangnya hak eksklusif mereka,” katanya.



