Undi DAP keluar Kerajaan Perpaduan sebab kukuh desak Anwar laksanakan pembaharuan politik – Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR – Undi DAP keluar dari Kerajaan Perpaduan akan jadi sebab kukuh untuk mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan sedikit pembaharuan politik sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Bekas Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming berkata para perwakilan DAP dan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan DAP sudah pasti sedar bahawa Anwar akan hanya bertindak balas apabila ada tekanan yang kuat dikenakan ke atasnya sama ada oleh individu, kumpulan, pertubuhan atau situasi politik tertentu.

“Inilah niat asal Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dalam mengadakan kongres khas ini, sebagai satu cara untuk mengingatkan PMX bahawa para perwakilan DAP mempunyai kuasa untuk memaksa pemimpin DAP meletakkan jawatan Kabinet, dan menggunakan kuasa pengaruh ini untuk menekan PMX supaya memenuhi sebahagian janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum berakhirnya sesi Parlimen ini,” menurut beliau dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Menurut beliau, terdapat juga sebab-sebab lain untuk DAP terus kekal dalam kerajaan antaranya ialah memastikan pembentangan dan perbahasan Bajet 2027 berjalan lancar pada 9 Oktober depan.

“Sebab lain ialah menjamin kestabilan dasar dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi yang disebabkan oleh dasar-dasar Presiden Trump, terutamanya yang berlaku di Timur Tengah dan tidak memberi peluang kepada BN/UMNO untuk menarik sokongan daripada Kabinet dan Kerajaan, sekaligus mencetuskan pilihan raya umum lebih awal,” katanya.

Beliau berkata sekiranya Perdana Menteri melihat perwakilan DAP tetap memilih untuk kekal dalam kerajaan walaupun berlaku beberapa perkembangan politik yang bercanggah dengan agenda pembaharuan asal PH, Anwar akan mengangapnya sebagai petanda bahawa DAP bersedia menyokongnya sehingga akhir penggal Parlimen ini.

“Antara perkembangan politik berkenaan ialah tiada tindakan lanjut diambil terhadap bekas Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPR) Tan Sri Azam Baki, sekatan peruntukan parlimen bagi Ahli Parlimen PKR yang dianggap menyokong Datuk Seri Rafizi Ramli serta penangkapan dua orang penulis blog baru-baru ini,” katanya.

Ong berkata sekiranya perwakilan undi untuk ‘Keluar’, pemimpin DAP masih boleh menentukan pada masa yang tepat bagi ahli-ahli Kabinet dalam kalangan DAP untuk meletak jawatan.

“Mereka boleh mencapai persetujuan dengan Anwar supaya peletakan jawatan hanya dilakukan selepas Bajet 2027 diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember 2026.

“Mereka juga boleh berunding dengan Anwar supaya pembaharuan perundangan yang penting diluluskan dalam sesi Parlimen ini, termasuk peruntukan yang mengehadkan tempoh khidmat Perdana Menteri kepada dua penggal sepuluh tahun, serta akta peruntukan parlimen yang saksama dan adil,” katanga.

Beliau menegaskan langkah yang dicadangkan mungkin tidak menjamin PH dan DAP dapat terus memerintah bagi penggal kedua selepas PRU16 tetapi sekurang-kurangnya DAP boleh berdiri teguh atas prinsip.

“Perwakilan DAP perlu berani meninggalkan kerajaan demi prinsip, dan bukannya dikecam kerana mengundi demi melindungi kepentingan diri sendiri.

“Saya berharap para perwakilan DAP akan memahami seruan ini dan mengundi “Keluar” dan bukannya memilih untuk “Kekal”,” katanya.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat