KUALA LUMPUR – Tiga individu yang pernah memegang jawatan Ketua Audit Negara sepanjang tempoh yang menjadi tumpuan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji didapati tidak dipanggil memberikan keterangan di hadapan suruhanjaya berkenaan.
Perkara itu berdasarkan senarai dalam Laporan RCI Tabung Haji yang meletakkan Tan Sri Dato’ Setia Haji Ambrin Buang, Tan Sri Madinah Mohamad dan Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid di bawah kategori “Akuan Berkanun Saksi (ABS)bagi mereka yang tidak dipanggil memberikan keterangan di hadapan Suruhanjaya.”

Senarai berkenaan dipaparkan pada halaman 202 laporan tersebut, dengan ABS Ambrin direkodkan bermula halaman 1,359, Madinah pada halaman 1,377 manakala Nik Azman pada halaman 1,463.
Perkara itu menarik perhatian kerana ketiga-tiga mereka mengetuai Jabatan Audit Negara (JAN) secara berturutan dalam sebahagian atau keseluruhan tempoh 2014 hingga 2020 yang menjadi skop penelitian RCI terhadap pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).
Ambrin merupakan Ketua Audit Negara dari 2006 sehingga Februari 2017 sebelum digantikan Madinah yang memegang jawatan berkenaan sehingga Februari 2019. Nik Azman kemudiannya menjadi Ketua Audit Negara mulai Februari 2019.
Ini bermakna ketiga-tiga individu berkenaan berada pada kedudukan tertinggi JAN ketika penyata kewangan TH bagi tahun-tahun yang kemudiannya menjadi subjek penelitian RCI diaudit.
Bagaimanapun, laporan RCI menunjukkan ketiga-tiga mereka telah menyediakan Akuan Berkanun Saksi (ABS), justeru pandangan atau penjelasan mereka bukanlah tidak diperoleh sama sekali oleh suruhanjaya.
Namun, status mereka dalam senarai tersebut mengesahkan bahawa mereka tidak dipanggil memberikan keterangan di hadapan RCI, sekali gus bermakna mereka tidak melalui proses pemeriksaan secara langsung di hadapan anggota suruhanjaya.
Perkara itu menimbulkan persoalan berikutan laporan RCI turut memberikan perhatian kepada peranan JAN dalam pengauditan penyata kewangan TH, termasuk isu kedudukan aset dan liabiliti serta pembayaran hibah kepada pendeposit.
Ia turut menjadi perhatian susulan kenyataan Madinah yang mendakwa beliau telah hadir ke lokasi prosiding RCI pada tarikh dan masa ditetapkan, namun akhirnya tidak dipanggil untuk memberikan keterangan.
Lebih penting, Ambrin merupakan Ketua Audit Negara ketika sebahagian besar tempoh sebelum 2017 yang kini menjadi pertikaian berhubung kedudukan kewangan dan pembayaran hibah TH.
Pada Februari 2016, JAN di bawah kepimpinan Ambrin pernah mengeluarkan penjelasan berhubung kedudukan kewangan TH selepas kontroversi mengenai kemampuan institusi itu membayar hibah kepada pendeposit.
Justeru, timbul persoalan mengapa ketiga-tiga Ketua Audit Negara yang mengetuai JAN sepanjang tempoh berkaitan tidak dipanggil untuk memberikan keterangan secara langsung, khususnya bagi menjelaskan pendekatan audit, asas pendapat audit yang diberikan serta penilaian JAN terhadap kedudukan sebenar aset dan liabiliti TH ketika itu.
Pada masa sama, kewujudan ABS ketiga-tiga mereka bermakna penilaian yang lebih menyeluruh perlu dibuat terhadap kandungan dokumen tersebut sebelum sebarang kesimpulan dibuat bahawa pandangan JAN tidak dipertimbangkan oleh RCI.
RCI Tabung Haji ditubuhkan bagi menyiasat isu berbangkit berkaitan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, termasuk beberapa transaksi pelaburan, kedudukan kewangan serta pembayaran hibah kepada pendeposit.



