Malaysia perkukuh hubungan bilateral dengan Australia dan meneroka peluang kerjasama baharu

KUALA LUMPUR – Malaysia mengambil langkah untuk mengukuhkan hubungan bilateral dengan Australia serta meneroka peluang kerjasama baharu berasaskan kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) yang dimeterai oleh kedua-dua negara sejak 2021.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke di Parlimen.

NRES dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan antara fokus utama perbincangan merangkumi pemerkasaan industri Elemen Nadir Bumi (REE) dan mineral kritikal.

“Malaysia mengiktiraf kepakaran teknikal serta kepimpinan Australi dalam sektor ini dan komited untuk membangunkan rantaian nilai REE tempatan secara komprehensif daripada peringkat pertengahan hingga hilir, selaras dengan Dasar Mineral Negara 3,” menurut kenyataan itu.

Perbincangan turut memberi penekanan kepada pertukaran amalan terbaik dalam pengurusan sisa pemprosesan nadir bumi, khususnya Neutralisation Underflow Residue (NUF) serta pembangunan keupayaan pembuatan magnet neodymium di dalam negara.

“Selain sektor mineral, NRES dan pihak Australia turut membincangkan komitmen bersama dalam menangani cabaran alam sekitar, antaranya pengurusan sisa berbahaya, pemuliharaan ekosistem marin, pembiayaan iklim serta komitmen Malaysia terhadap Persidangan COP31,” katanya.

Kenyataan NRES menyebut Malaysia percaya bahawa gabungan kepakaran teknikal Australia dengan komitmen negara terhadap pengurusan sumber yang mampan akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi hijau yang berdaya saing serta membawa manfaat jangka panjang kepada kedua-dua negara.

“Turut hadir di sesi kunjungan tersebut, Ketua Setiausaha NRES, Datuk Wira Anis
Rizana binti Zainudin, bersama-sama pengurusan tertinggi Kementerian serta wakil Kementerian Luar Negeri (KLN),” katanya.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat