Sidang Khas RCI TH : Mahfuz Omar anggap tindakan ahli parlimen keluar Dewan Rakyat tidak matang

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pas dan Wawasan yang keluar dari Dewan Rakyat ketika bermula sesi penerangan Menteri ketika Sidang Khas Laporan RCI Lembaga Tabung Haji (TH) pagi tadi di Parlimen disifatkan sebagai tidak matang dan perlu ‘rawatan mental politik’, dakwa Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar.

Menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini, tindakan itu langsung tidak menunjukkan kesungguhan blok pembangkang untuk membela kepentingan mereka yang meletakkan wang mereka di TH.

Mahfuz berkata tindakan keluar dewan semasa fakta dan penjelasan tentang hasil RCI dibentangkan amat bercanggah dengan dakwaan mereka yang sebelum ini mahu menyelamatkan TH.

“Di luar dewan mereka menjerit bising kononnya aset TH dijual dan dilelong tetapi apabila fakta, penemuan dan penjelasan RCI dibentangkan di dalam dewan, mereka pula yang bangun meninggalkan tempat.

“Kalau benar mahu membela pendeposit, duduk, dengar dan bahas. Kalau tidak setuju berhujahlah dengan waras. Kalau ada fakta yang mahu dicabar, kemukakanlah bukti.

“Tetapi keluar Dewan ketika penerangan sedang diberikan bukan tindakan seorang pejuang kebenaran. Orang yang benar-benar mahu jawapan, tidak meninggalkan Dewan ketika penerangan dan jawapan sedang diberikan,” katanya.

Tambah beliau, alasan untuk menangguhkan sidang kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir kerana sedang menjalani rawatan juga menghairankan.

“PM sedang menjalani rawatan. Saya cadangkan Ahli Parlimen Pas dan Wawasan perlu menjalani rawatan mental politik sebab bila fakta pahit dibentangkan, terus keluar Dewan.

“Perdana Menteri tidak hadir kerana doktor memintanya berehat. Pembangkang lari keluar Dewan atas nasihat doktor mana pula? Tidak hadir kerana apa? Sakit apa atau takut fakta?” jelasnya.

Beliau berkata laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu perlu dibaca secara menyeluruh dan tidak dipilih berdasarkan fakta yang hanya menguntungkan pihak tertentu.

Jika laporan berkenaan mendedahkan kelemahan dan kegagalan terdahulu, perkara itu perlu diterima untuk diperbaiki, termasuk penjelasan mengenai rasional langkah pemulihan serta penstrukturan yang telah dilaksanakan, ujarnya.

“Jangan pilih fakta daripada RCI seperti memilih ‘lauk di pasar malam’ – ambil yang sedap kepada selera politik, tinggalkan yang pahit kepada naratif sendiri.

“Baca keseluruhan laporan, bukan pilih muka surat yang boleh dijadikan bahan ceramah,” katanya.

Mahfuz berkata, isu TH bukan pentas untuk mana-mana pihak berlakon menjadi hero, sebaliknya pendeposit memerlukan wakil rakyat yang sanggup duduk, mendengar, bertanya dan mempertahankan amanah mereka berdasarkan fakta.

author avatar
Ibnu Khusairy Aris
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat