Aktivis, bekas calon Bebas PRN Negeri Sembilan didakwa buat hantaran jelik berkaitan institusi diraja

SEPANG – Seorang aktivis masyarakat yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan media sosial untuk memulakan penghantaran komunikasi jelik dipercayai berkaitan institusi diraja.

Islah Wahyudi Zainudin, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Islah Wahyudi merupakan calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung pada PRN Negeri Sembilan baru-baru ini.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Instagram menerusi akaun “randuk malaysia” dengan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melampau sifatnya pada kira-kira jam 3.20 petang, 14 Januari lalu.

Hantaran berkenaan kemudiannya dilihat pada kira-kira jam 3.20 petang, 24 Januari lalu di Menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya, Selangor.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Islah Wahyudi boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan maksimum dua tahun atau kedua-duanya, selain denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya MCMC Fadhli Ab Wahab mencadangkan tertuduh diberikan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Aidil Khalid yang mewakili Islah Wahyudi bagaimanapun merayu supaya mahkamah menetapkan jaminan lebih rendah sebanyak RM3,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 September depan untuk sebutan semula kes.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat