KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) khususnya Umno tidak akan sesekali berkompromi jika benar ada pihak yang terbabit pecah amanah atau salah tadbir Lembaga Tabung Haji (TH), tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid berkata pendirian BN dan Umno tegas dalam isu terbabit meskipun laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH akan dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini.
“… jika benar ada individu ataupun sekumpulan pihak yang melakukan penyelewengan atau pecah amanah atau melakukan kerja-kerja tadbir urus yang tidak selari dengan tata kelola sesebuah organisasi kerajaan, apatah lagi badan berkanun, maka akibatnya akan dihadapi oleh mereka.
“Saya tidak fikir kita harus berkompromi jika unsur negatif itu dilakukan oleh mereka,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) lapor BH di Putrajaya pada Khamis.
Semalam Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dilapor berkata Umno perlu mengakui terdapat kelemahan dalam tadbir urus TH ketika pentadbiran BN dari 2014 hingga 2017, seperti didedahkan dalam laporan RCI mengenai agensi itu minggu lalu.
Menurut Khairy, beliau memahami kenyataan beberapa pemimpin Umno susulan penemuan RCI itu termasuk menafikan wujudnya penyelewengan atau rasuah dalam pengurusan TH, terutama ketika berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Bagaimanapun katanya, tindakan itu tidak mencukupi terutama ketika Umno mahu dilihat sebagai parti yang melakukan reformasi.



