KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil mendakwa demi kuasa Pas membisu berkaitan kenyataan Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali yang memuat naik video di Threads dengan kapsyen mempersenda kekalahan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke di DUN Chennah.
Menurut Faiz, kenyataan Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali bahawa tahlil bukan sebahagian daripada syariat Islam boleh menggores perasaan orang Melayu kerana tahlil adalah amalan orang Melayu sejak sekian lama.
“Walaupun tahlil menjadi perdebatan di kalangan ilmuan Islam, amalan tersebut dipenuhi dengan bacaan ayat al-quran, selawat, zikir dan doa yang kandungannya tidak bertentangan dengan syarak.
“Oleh itu, sama ada tahlil adalah syariat ataupun tidak, bukanlah tiket untuk mana-mana individu mempermainkannya sebagai alat politik atau menyindir mana-mana ahli politik terutama orang bukan Islam seolah-olah mereka juga mengamalkan amalan tahlil.
“Tindakan sebegini boleh menyemarakkan lagi api perkauman kerana amalan orang Melayu tidak seharusnya dijadikan bahan ejekan atau sindiran ke atas orang bukan Melayu, apatah lagi ia berkaitan amalan dalam Islam.
“Adalah malang dalam suasana politik hari ini apabila gelombang penyatuan umat cuba memesong pemikiran orang Melayu kononnya Islam terancam, tetapi Pas membisu berkaitan kenyataan Exco Pemuda Umno tersebut,” tempelak Faiz.
Kata beliau lagi, demi kuasa, Pas tidak lagi bersuara dalam isu Islam sepertimana isu cabutan khas judi dinaikkan daripada 8 kepada 22 ketika memerintah bersama Perikatan Nasional (PN) dahulu.
“Seharusnya, Exco Pemuda Umno tersebut menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf di atas keterlanjuran kenyataan-kenyataan beliau berhubung amalan tahlil ini,” desaknya.
Sebelum itu media melaporkan, Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali yang memuat naik video di Threads dengan kapsyen mempersenda kekalahan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke di DUN Chennah.
Video berkenaan memaparkan Wan Zuhir bersama sekumpulan lelaki sedang membaca doa sambil duduk di atas lantai dengan kapsyen, “Tengah tahlil atas pemakaman Loke di (DUN) Chennah. Salam takziah.”



