Ahli Parlimen DAP ulang desakan tubuh RCI siasat mafia korporat

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong sekali lagi mendesak kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai dakwaan mafia korporat serta isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Poay Tiong menegaskan, sekiranya hasil siasatan menunjukkan bahawa penubuhan RCI diperlukan demi kepentingan awam dan memulihkan keyakinan rakyat, kerajaan perlu mempertimbangkannya mengikut proses undang-undang.

“Di Parlimen, saya mendapatkan penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai pendirian kerajaan terhadap dakwaan mafia korporat serta isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah SPRM.

“Menurut jawapan kerajaan, isu yang boleh menjejaskan integriti institusi awam dan keyakinan rakyat dipandang serius. Siasatan oleh pihak berkuasa sedang dijalankan bagi mendapatkan fakta yang lengkap dan sahih.

“Kerajaan juga menjelaskan bahawa penubuhan RCI tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 serta prosedur yang ditetapkan, termasuk kelulusan Jemaah Menteri dan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Pada pandangan saya, sebarang isu yang melibatkan kepentingan awam, integriti institusi dan tadbir urus negara mesti ditangani secara telus, bebas dan berasaskan undang-undang,” katanya.

Menurut beliau, siasatan perlu diberikan ruang untuk berjalan tanpa gangguan.

“Apa jua pihak yang terlibat, prinsipnya tetap sama iaitu fakta mesti menjadi asas, bukti mesti menjadi ukuran, dan undang-undang mesti terpakai kepada semua.

“Rakyat berhak mendapat sebuah sistem yang telus, adil dan dipercayai,” tegas Poay Tiong.

Azalina sebelum ini menegaskan RCI bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam agensi itu tidak boleh ditubuhkan selagi siasatan pihak berkuasa belum dimuktamadkan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat