Terpulang Jalaluddin mahu sertai barisan Exco atau tidak – MB Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim menyerahkan kepada Pengerusi Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias untuk menentukan sama ada beliau mahu menyertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu.

Ismail berkata, keputusan itu adalah hak dan pendirian Jalaluddin sendiri, memandangkan beliau juga adalah Ahli Parlimen Jelebu serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pertang.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini belum ada perbincangan terperinci antara kedua-dua pihak berhubung perkara berkenaan.

“Setakat ini belum ada perbincangan terperinci lagi dengan beliau (Datuk Seri Jalaluddin) dan beliau juga seorang Ahli Parlimen serta Adun.

“Jadi terpulang kepada pendirian beliau sama ada mahu menganggotai barisan Exco atau sebaliknya,” katanya pada sidang media di Pejabat Menteri Besar lapor BH di Seremban pada Selasa.

Adun Juasseh itu berkata demikian ketika mengulas spekulasi mengenai pendirian Jalaluddin yang dikatakan tidak akan menawarkan diri untuk menyertai barisan Exco negeri.

Semalam, Jalaluddin yang juga Adun Pertang menegaskan beliau tidak akan menawarkan diri menganggotai barisan Exco baharu, sebaliknya memberi peluang kepada pemimpin lain untuk memikul tanggungjawab berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa pelantikan Exco adalah hak prerogatif Menteri Besar.

Sementara itu, Ismail menegaskan proses pelantikannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dilaksanakan mengikut tatacara yang betul.

Beliau berkata, dakwaan Pengerusi Wawasan Negeri Sembilan (Wawasan), Tan Sri Rais Yatim bahawa pelantikannya ke jawatan berkenaan dipengaruhi pihak luar adalah tidak tepat.

“Saya tidak begitu mengikuti apa yang tersiar di media sosial, tetapi saya rasa tatacaranya telah diikuti dengan betul dan dakwaan beliau (Tan Sri Rais) itu tidak tepat.

“Lain daripada itu saya tidak ada komen,” kata Ismail.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat