Sarawak mungkin tidak bersama PH dalam PRN – Ahmad Maslan

SERI MANJUNG – Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkemungkinan tidak menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang meskipun kedua-duanya bersama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada perjanjian yang mengikat GPS dan PH untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri.

Menurut beliau, DAP masih dianggap sebagai parti pembangkang kepada pentadbiran GPS di Sarawak sehingga kini.

“Di Sarawak juga tidak ada perjanjian dengan PH. GPS sentiasa menganggap DAP sebagai pembangkang di Sarawak sehingga sekarang.

“Selepas Kerajaan Perpaduan dibentuk pada Disember 2022, DAP masih menjadi pembangkang di Sarawak. Takkan tiba-tiba mereka mahu mengambil DAP sebagai rakan dalam PRN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan rasmi sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya ke tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Samudera di Desa Manjung Raya, di sini.

Ahmad berkata, kerjasama antara GPS dengan PH di peringkat Persekutuan tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk kerjasama pilihan raya di Sarawak.

“Insya-Allah, mereka tidak akan bersama dengan PH,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pandangannya mengenai politik Sarawak dibuat berdasarkan hubungan rapat dan pengalamannya mengikuti perkembangan negeri itu sejak sekian lama.

Menurut Ahmad, beliau mempunyai hubungan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sejak pemimpin itu masih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri biasa.

“Saya sudah 40 tahun berkahwin dengan orang Sarawak. Setiap kali pulang beraya, saya akan pergi ke rumah Abang Johari, daripada beliau menjadi ADUN biasa sehingga sekarang menjadi Premier.

“Jadi saya mempunyai keunikan dalam kalangan pimpinan kerana mempunyai hubungan dengan Sarawak,” katanya.

Ahmad berkata, pilihan raya negeri terakhir Sarawak berlangsung pada Disember 2021 dan penggal semasa akan mencapai tempoh lima tahun pada Disember ini.

Bagaimanapun, tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri dan pelaksanaan PRN seterusnya tertakluk kepada keputusan kepimpinan serta peruntukan undang-undang negeri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat