SEREMBAN – Perbalahan mengenai Institusi Di Raja Negeri Sembilan kian membimbangkan apabila Istana Seri Menanti dikatakan memangggil Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan pada Jumaat bagi mengambil tindakan ke atas Undang Luak Jelebu.
Panggilan mesyuarat khas DKU dan agenda menjatuhkan Undang Luak Jelebu hanya sehari sebelum pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN), mencetuskan persoalan mengenai motif sebenar mesyuarat tersebut.
Dokumen yang dilihat SuaraTV menunjukkan satu surat bertaraf “RAHSIA” bertarikh 30 Julai 2026 telah dihantar kepada seorang anggota Dewan Keadilan dan Undang bagi memaklumkan mengenai Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada jam 4 petang di Istana Besar Seri Menanti.
Berdasarkan surat tersebut, tujuan mesyuarat adalah untuk mendengar aduan-aduan dari Luak Jelebu.
Walaupun kandungan aduan tidak diperincikan dalam surat berkenaan, perkembangan itu mencetuskan pelbagai persoalan memandangkan ia berlaku selepas siri pertikaian melibatkan institusi Undang di negeri ini sejak lebih setahun lalu.
Sebelum ini, DKU dan Istana Seri Menanti juga telah terlibat menyingkirkan Undang Luak Sungai Ujong dan Luak Rembau sehingga mencetuskan tindakan mahkamah dan pelantikan Yang Di Pertuan Negeri Sembilan ke-12.
Sebelum ini kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun, menyebelahi Istana sehingga menyebabkan terpaksa membubarkan Dewan Undangan Negeri.
Kerajaan Negeri juga terlibat mengeluarkan arahan pengosongan terhadap balai dan kediaman rasmi perubahan melibatkan Undang Luak Sungai Ujong dan Luak Rembau walaupun ia telah di bawa ke mahkamah.
Kemelut DKU dibawa ke Mahkamah Tinggi Seremban yang mengeluarkan perintah injunksi sementara bagi mengekalkan status quo serta menghalang pelaksanaan sidang khas yang menjadi pertikaian sementara prosiding mahkamah berjalan.
Sebahagian orang melihat perkara ini berlaku bertujuan mempengaruhi pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Ini kerana mengikut sistem pemerintahan Negeri Sembilan, Undang Yang Empat merupakan sebahagian daripada Ruling Chiefs yang mempunyai peranan penting dalam proses berkaitan pelantikan Yang di-Pertuan Besar dan turut dirunding dalam pelantikan Menteri Besar mengikut amalan serta peruntukan Perlembagaan Negeri.


