SEREMBAN – Bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan, beliau tidak pernah bertindak melangkaui syor berkaitan pelaburan membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika mengemudi institusi itu dari 2009 hingga 2018.
Jamil Khir memberitahu, kuasa menteri adalah berdasarkan syor daripada kumpulan berisiko TH bagi memastikan ia mematuhi panduan tadbir urus yang baik dan patuh syariah.
“Sebab itu saya sangat yakin apabila dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH, saya kata tolong semak balik mana-mana memorandum yang dibawa kepada saya yang saya melangkaui daripada cadangan yang dibawa oleh lembaga.
“Kuasa menteri adalah berdasarkan syor daripada lembaga TH,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno ketika ditemui media pada Majlis Ikrar Wanita Negeri Sembilan pada Khamis.
Jamil Khir berkata demikian ketika ditanya mengenai pendedahan laporan RCI mengenai TH.
Ini susulan,dapatan Suruhanjaya bahawa menteri yang bertanggungjawab terhadap TH mempunyai kuasa amat luas di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), yang meliputi hampir keseluruhan aspek tadbir urus, pengurusan dan operasi institusi berkenaan.
Jelas Jamil Khir, Akta Tabung Haji sebagai badan berkanun institusi itu diaudit Jabatan Audit Negara (JAN).
“Jabatan Audit ini auditor yang sah dan sahih, jadi Tabung Haji wajib mematuhi audit JAN.
“JAN dan firma audit antarabangsa sejak dari 2009 sehingga 2017, kita mendapat audit bersih. Bila audit bersih ertinya kita keuntungan melebihi daripada beban defisit.
Dalam pada itu, Jamil Khir menegaskan bahawa beliau sedia disiasat sekali lagi sebagai saksi selepas pendedahan RCI.
“Bukan sedia disiasat, kalau dah dalam RCI memang disiasat. Sebenarnya 2018 itu memang setiap hari pun dah disiasat.
“Tapi kalau nak (lagi) siasat, tak apalah. Takkan kita nak lari pula kan? Saya rakyat Malaysia, takkan nak kena pergi luar negara? katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, antara saksi dipanggil ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa; bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Tan Sri Md Nor Md Yusof; serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.
Sementara itu, Jamil Khir yang juga bekas Ahli Parlimen Jerai berkata, walaupun ada pihak yang mengaitkan dengan sakau, curi duit, rompak duit dan sebagainya tetapi RCI mendapati tidak ada disebutkan dengan sakau.
“Apa yang ada adalah laporan yang dibuat pada 2017, yang mengatakan dana kewangan kita lebih rendah daripada tanggungan. Sebab itu mereka mengatakan ada satu jumlah yang dianggap sebagai tidak wajar untuk mengeluarkan (dana).
“Saya minta supaya kita dapat memahami dengan tuntas bahawa TH yang ditubuhkan pada 1963, diikat dan dikawal selia dengan Akta Tabung Haji,” jelasnya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan laporan yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri menunjukkan TH mengalami kerugian kira-kira RM10 bilion sekali gus mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap sebarang unsur salah guna kuasa atau pelanggaran yang dikenal pasti.
Anwar berkata, kerajaan turut memutuskan supaya laporan berhubung kedudukan TH itu didedahkan kepada umum sebagai tanda komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan akauntabiliti.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi berkaitan sebelum sebarang tindakan undang-undang diputuskan.



