Wanita BN Negeri Sembilan lancar ikrar selaras manifesto, perkasa wanita

SEREMBAN – Wanita Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan melancarkan “Ikrar Wanita Negeri Sembilan” yang menggariskan tujuh janji khusus bagi memperkukuh keselamatan, kesejahteraan, kedudukan ekonomi dan suara wanita dalam pentadbiran negeri itu.

Ikrar itu dibangunkan berdasarkan Manifesto BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 itu, menghimpunkan komitmen berkaitan wanita, keluarga, kebajikan, kesihatan, pekerjaan dan keusahawanan dalam satu tawaran yang lebih khusus serta mudah difahami.

Menurut Ketua Wanita BN Negeri Sembilan Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid, wanita membentuk lebih separuh daripada pengundi di Negeri Sembilan, yang bukan sekadar kumpulan pengundi terbesar tetapi juga tunjang keluarga, penggerak ekonomi isi rumah dan kekuatan utama masyarakat.

“Justeru, agenda wanita tidak boleh dianggap sebagai sampingan. la mesti menjadi keutamaan kerajaan negeri dan diterjemah melalui dasar, peruntukan, pelaksanaan serta pemantauan yang jelas.

“Ikrar ini adalah penegasan dan pengkhususan kepada Manifesto BN Negeri Sembilan bagi memastikan setiap komitmen berkaitan wanita dapat dilaksanakan secara tersusun dan memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka,” katanya ketika berucap melancarkan Ikrar Wanita Negeri Sembilan di Seremban pada Khamis.

Bibi Sharliza berkata, ikrar itu adalah berdasarkan tiga matlamat utama, iaitu “Wanita Selamat, Wanita Sejahtera dan Wanita Berdaya”.

“Wanita Selamat” memberi tumpuan kepada pelaksanaan Audit Keselamatan Wanita dalam tempoh 100 hari di semua 36 Dewan Undangan Negeri (DUN), meliputi pencahayaan, kamera litar tertutup (CCTV), hentian bas, laluan awam dan kawasan berisiko.

Selain itu, menyediakan talian bantuan dan pusat sokongan wanita 24 jam di setiap daerah bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga, gangguan, buli dan krisis sosial.

Di bawah “Wanita Selamat”, Bibi Sharliza, berkata Wanita akan memperluas akses kepada pusat penjagaan kanak-kanak yang selamat, berkualiti dan mampu milik, termasuk di pusat pentadbiran daerah dan kawasan perindustrian utama serta subsidi taska untuk keluarga B40 dan M40.

“Kita akan menubuhkan Dana Ibu Tunggal Negeri Sembilan, merangkumi geran mula niaga, latihan kemahiran dan sokongan perumahan, selain bantuan pada setiap peringkat kehidupan melalui Skim Salam Sejahtera.

“Pada masa sama, membawa perkhidmatan saringan kesihatan wanita secara percuma, termasuk mamogram dan saringan kanser serviks, melalui klinik bergerak di setiap daerah,” katanya.

Selain itu, “Wanita Berdaya” menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 daripada 50,000 peluang pekerjaan baharu untuk wanita, selain memperluas pekerjaan berhampiran kediaman, kemudahan kerja fleksibel, lesen penjaja percuma dan akses kepada pembiayaan usahawan wanita.

“Kita juga mahu memastikan suara wanita berada dalam proses membuat keputusan kerajaan, termasuk pewujudan portfolio penuh Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam lantikan kerajaan negeri,” jelas beliau lagi.

Bibi Sharliza, berkata setiap janji di bawah Ikrar Wanita Negeri Sembilan akan dipantau melalui Unit Pemantauan Pelaksanaan Manifesto supaya rakyat dapat menilai kemajuan pelaksanaannya secara telus dan berterusan.

“Kami mahu wanita Negeri Sembilan bukan sekadar menjadi penerima dasar. Wanita mesti terbabit dalam merangka, menentukan dan memantau dasar,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat