SIKAMAT – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menyerahkan Negeri Sembilan untuk dipimpin oleh Menteri Besar daripada Barisan Nasional (BN) manakala Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) memainkan peranan untuk menjaga gawang gol bagi memastikan kemenangan BN.
Hadi menegaskan, tujuan utama strategi ini diatur adalah untuk menyekat kemaraan DAP yang didakwanya hanya mahu meneruskan kerja-kerja penjajah.
“Di Negeri Sembilan tetap didominasi oleh BN dan sebab itu kita (Perikatan Nasional) mengambil pendekatan kerjasama dengan BN.
“Kita putuskan di Negeri Sembilan BN yang pimpin. Menteri Besar dari BN kerana dia yang besar di sini. Kita buat keputusan begitu.
“Oleh itu, kita nak gerakan pengundi yg penting — di mana tempat yang kita PN tanding— BN tak bertanding kita tak lawan BN kecuali parti Bunga Raya (Bersatu) yang buat kacau untuk nak pecah undi. Kita percaya (strategi Bersatu) tak ada kesannya.
“Cuma kita harap supaya kerjasama ini betul-betul berlaku, saya ulangi seruan sekali lagi supaya orang-orang PN, Pas dan Wawasan bekerja juga di kawasan BN, undi BN, begitu juga orang BN bekerja di kawasan yang Pas bertanding. Undi kawasan yang Wawasan bertanding supaya dia mendapat kemenangan, ini mesti (dilaksana) ini arahan saya.
“Daripada Pas saya arah orang Pas kawasan BN tanding, undi BN dan kerja untuk mereka. Wawasan pun sama, undi BN. Ini kerjasama , ini satu strategi yang baru kita atur.
“Insya-Allah kalau menang Negeri Sembilan kita atur lagi. Hal ini kerana kita perlu menyekat kemaraan DAP,” seru Hadi ketika berucap pada Ceramah Mega Birukan Seremban, malam tadi.
Ahli Parlimen Marang itu turut mendakwa bahawa DAP merancang agenda yang sangat merosakkan negara.
Hadi mendakwa lagi, DAP mahu mentadbir negara kerana berhasrat meneruskan kerja-kerja penjajah.
“Antaranya jika Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya – kita lihat ada kalangan yang berani mencabar Islam dan Perlembagaan, mencabar raja-raja, mencabar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mencabar hubungan kaum, ini boleh merosakkan.
“Bagaimana PH merancang untuk buat pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), bandar dikuasai satu kaum saja rosakkan hubungan Islam dan bukan Islam.
“DAP nak kuasa saja, dia tak peduli kaum ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengundi-pengundi muda yang masih kebingungan untuk memberi peluang kepada pakatan baharu PN-BN.
“Pakatan baru ini akan selesaikan masalah, kaji semula kesilapan lalu ,
“Oleh itu, kita mengharapkan pengundi-pengundi muda memberi sokongan kepada gabungan ini.
“Kerana perjuangan kita untuk masa depan negara, buat generasi muda Cina, India dan Melayu supaya hidup harmoni dan adil utk semua dan tidak zalim, meskipun orang Melayu memimpin,” katanya.
Justeru, Hadi menegaskan Negeri Sembilan akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain namun pengundi perlu memberi kemenangan terlebih dahulu kerana PN-BN akan membuktikan dengan tindakan dan amalan.


