SENDAYAN – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik teguran Istana Negeri Sembilan yang meminta semua parti politik supaya tidak mengaitkan institusi itu dalam ceramah dan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bersandarkan prinsip berkecuali yang diamalkan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menegaskan, setakat ini kempen-kempen BN sepanjang PRN Negeri Sembilan tidak pernah lagi menyentuh Institusi Diraja termasuk Undang Yang Empat.
“Teguran oleh pihak Istana Negeri Sembilan yang mengatakan jangan campur, jangan sentuh soal 3R… Alhamdulillah, kempen-kempen yang kita jalankan juga tidak menyentuh perkara itu. Mungkin ada pihak lain yang menyentuhnya.
” Sebabnya kami (BN) berpegang bahawa institusi raja-raja mesti dipertahankan dan dalam konteks Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat juga harus dipertahankan.
“Kami tidak pernah menyentuh, sebaliknya kami menghormati institusi berkenaan, dan untuk itu saya ingin ingatkan mana-mana pihak yang menenyentuh mengenai perkara itu, tak perlu sentuh.
“Itu adalah satu ingatan yang baik oleh pihak istana,” ujar Timbalan Perdana Menteri pada sidang media selepas berucap pada Himpunan Usahawan Bumiptera Negeri Sembilan di Sendayan pada Isnin.
Hari ini Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali, berkata Istana Negeri Sembilan menegaskan, Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terbabit dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.
“Institusi Raja adalah payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.
“Sehubungan itu, Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.
“Sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, atau mana-mana Ahli Kerabat Diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Istana Negeri Sembilan menasihatkan semua calon parti politik yang bertanding di dalam PRN Negeri Sembilan mengelak daripada memainkan isu berkaitan 3R (agama, kaum dan raja) dan sentiasa berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri ini.
Azizi menegaskan, Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan Institusi Diraja terus dihormati dan dipelihara daripada sebarang salah tafsir atau eksploitasi bagi kepentingan mana-mana pihak.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi Istana Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” katanya.



