SEREMBAN — Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kini memasuki fasa kedua apabila kedua-dua gabungan semakin serasi dan bergerak sebagai satu pasukan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Beliau berkata, tempoh penyesuaian pada peringkat awal kerjasama sudah berlalu dan kini jentera kedua-dua gabungan memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang tempoh berkempen.
“Kita dah masuk fasa kedua. Fasa pertama, apabila kita bekerjasama dengan satu rakan yang lain, mungkinlah menampakkan sedikit perlahan.
“Nak bersefahaman ini, orang kahwin pun agak-agaklah. Dia nak bersefahaman ini lambat sikit, ambil masa.
“Tapi kita dah masuk ke fasa kedua dan saya dapati bukan sahaja di DUN yang ditandingi oleh PN, UMNO sudah memberikan kerjasama total, tetapi di DUN yang ditandingi oleh Barisan Nasional juga PN sudah memberikan kerjasama yang total sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Nogori Beradat Kito Sepakat di sini, hari ini.
Menurut Jalaluddin, keserasian itu jelas dapat dilihat di peringkat akar umbi apabila jentera kedua-dua gabungan turun padang bersama tanpa mengira parti.
“Kalau kita tengok di peringkat akar umbi, di peringkat DUN, kedua-dua jentera bergerak sebagai satu pasukan sekarang.
“Tadi saya baru balik daripada satu DUN dan Muslimat PAS bergerak dengan anggota jentera Wanita UMNO sebagai satu pasukan. Yang membezakan mereka ialah pakaian itu sahaja.
“Tapi visi dan matlamat, mereka bawa satu untuk memberikan keyakinan kepada rakyat supaya memberikan mandat besar kepada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional pada 1 Ogos,” katanya.
Beliau turut berpandangan keserasian yang semakin kukuh itu, ditambah dengan tawaran manifesto yang menyeluruh, mampu menarik sokongan pengundi atas pagar khususnya golongan muda.
Menurutnya, manifesto BN-PN memberi penekanan terhadap peluang pekerjaan, pendidikan, ekonomi dan pembangunan usahawan, termasuk sasaran mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan bergaji premium bagi membolehkan anak muda membina kerjaya di negeri sendiri.
Mengulas kemungkinan model kerjasama BN-PN diperluaskan ke negeri lain termasuk Johor, Jalaluddin berkata perkara itu akan diteliti mengikut kesesuaian dan landskap politik setiap negeri.
“Itu kita akan teliti satu per satu dan tentunya ada pelbagai model, pelbagai cara dan keadaan yang boleh kita laksanakan.
“Jadi bila sampai waktu dan ketikanya, kita akan sampai kepada tajuk itulah, insya-Allah,” katanya.


