Sebaik bersara, Ayob Khan luah kekecewaan terhadap sikap pihak atasan

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilihat meluahkan rasa kecewa terhadap sikap pihak atasan menerusi catatan ringkas yang dimuat naik di Facebook, tidak lama selepas persaraannya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ayob Khan berkongsi dedikasi yang ditulisnya pada sebuah buku yang dihadiahkan kepada Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang sebelum ini merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum dipindahkan ke AKPS berkuat kuasa 1 Julai 2025.

Dalam catatan itu, beliau menitipkan pesanan agar Shuhaily terus istiqamah dalam membanteras sindiket dan kartel jenayah rentas sempadan serta berpegang teguh kepada prinsip integriti dan ketegasan.

“DS teruskan perjuangan dalam membanteras sindiket & cartel yang terlibat dalam aktiviti rentas sempadan… teruskan memegang teguh prinsip integriti dan ketegasan… Insya-Allah kebenaran pasti menang!”

Namun, perhatian lebih tertumpu kepada satu lagi ayat yang dimuat naik bersama hantaran berkenaan.

“Perjuanganmu terhenti sebab dikhianati manusia yang terlupa janji apabila berlehak menikmati kuasa.”

Catatan itu menimbulkan semula perbahasan kontroversi mengenai pertukaran Shuhaily daripada jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman ke AKPS, ketika beliau sedang mengetuai pelbagai operasi berprofil tinggi terhadap sindiket jenayah terancang, penyeludupan dan kartel rentas sempadan.

Pertukaran tersebut sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan pemerhati keselamatan, meskipun kerajaan menjelaskan beliau dilantik mengetuai AKPS bagi memperkukuh kawalan sempadan negara.

Walaupun Ayob Khan tidak menamakan mana-mana individu, ungkapan “dikhianati manusia yang terlupa janji apabila berlehak menikmati kuasa” dilihat sebagai luahan kekecewaan terhadap pihak atasan yang didakwa mengabaikan prinsip apabila berada di tampuk kuasa.

Ayob Khan sendiri dikenali sebagai pegawai kanan polis yang lantang memerangi sindiket dadah, penyeludupan dan jenayah terancang sepanjang perkhidmatannya, manakala Shuhaily pula sering dikaitkan dengan pendekatan tegas terhadap jenayah terancang ketika menerajui JSJ Bukit Aman.

Sehingga kini, Ayob Khan tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai individu atau pihak yang dimaksudkan dalam catatan berkenaan, sekali gus menyebabkan mesej tersebut terus menjadi bahan perbincangan dalam kalangan pemerhati politik dan keselamatan. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat