KUALA LUMPUR – Tourism Malaysia bekerjasama dengan Brainchild Pictures bagi menjayakan tayangan perdana dokumentari “ITAM: The Sun Bear Story” yang mengangkat kisah beruang matahari, spesies beruang paling kecil di dunia.
Dokumentari panjang pertama Malaysia mengenai beruang matahari itu dijadualkan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 23 Julai ini.
Diterbitkan oleh Brainchild Pictures, dokumentari berkenaan turut mencipta sejarah sebagai dokumentari panjang pertama Malaysia yang ditayangkan secara serentak dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin.
Ketiga-tiga versi dokumentari itu dinarasikan oleh personaliti televisyen dan pengacara terkenal, Baki Zainal, bagi memastikan penyampaian cerita serta kekuatan emosinya kekal konsisten kepada penonton daripada pelbagai latar belakang bahasa.
Dokumentari itu mengikuti perjalanan Itam, seekor beruang matahari yang diselamatkan sebelum menjalani proses pemulihan di Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC), Sepilok, Sabah.
Selepas melalui proses rehabilitasi, Itam kemudiannya dikembalikan ke habitat asalnya di hutan liar.
Menerusi sinematografi yang memaparkan keindahan hutan hujan Sabah, dokumentari itu memberikan gambaran mengenai kehidupan salah satu spesies beruang yang masih kurang dikaji di dunia.
Ia turut mengetengahkan usaha pegawai pemuliharaan dan petugas hidupan liar dalam memberikan peluang kedua kepada beruang yang diselamatkan untuk kembali hidup bebas di habitat semula jadi.
Antara lokasi utama yang dipaparkan dalam dokumentari itu ialah BSBCC di Sepilok dan Rizab Hidupan Liar Tabin.
Paparan lokasi terbabit secara tidak langsung memperkukuhkan kedudukan Sabah sebagai antara destinasi utama dunia bagi aktiviti pemuliharaan hidupan liar dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Beruang matahari Malaya merupakan khazanah biodiversiti negara dan dipilih sebagai ikon utama kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 menerusi maskot rasmi Wira dan Manja.
Pemilihan spesies berkenaan mencerminkan identiti Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan biodiversiti, mesra pengunjung dan menitikberatkan kelestarian alam sekitar.
Sebelum tayangan di pawagam seluruh negara, beberapa tayangan gala eksklusif telah diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.
Tayangan berkenaan menghimpunkan pemimpin kerajaan, penggiat pemuliharaan, pembikin filem, pemain industri pelancongan, pendidik serta anggota masyarakat.
Selain menawarkan nilai hiburan, ‘ITAM: The Sun Bear Story’ bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga biodiversiti, memelihara alam sekitar dan mengamalkan pelancongan bertanggungjawab.
Dokumentari itu juga memperlihatkan bagaimana penceritaan menerusi filem boleh membentuk hubungan lebih erat antara manusia dengan alam serta menggalakkan sokongan terhadap usaha pemuliharaan hidupan liar.
Tourism Malaysia berkata, kerjasama strategik itu selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mengetengahkan kepelbagaian destinasi pelancongan, warisan budaya dan keindahan alam negara.
Dokumentari itu dijangka turut memperkukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan premium yang menawarkan bukan sahaja pemandangan semula jadi dan kebudayaan unik, tetapi juga usaha pemuliharaan bertaraf antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Malaysia merekodkan 42.2 juta ketibaan pelawat antarabangsa sepanjang 2025, meningkat 11.2 peratus berbanding 38 juta pada 2024.
Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 pula, negara menerima 17.5 juta pelawat antarabangsa, meningkat 3.4 peratus berbanding 16.9 juta pelawat dalam tempoh sama tahun sebelumnya.


