Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Pementasan teater ‘Janji Presiden’ arahan Mohd Zulkamal Ismail (Joe K.A.S) di Dewan Budi Siswa Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok baru-baru ini berjaya menarik perhatian generasi muda yang menyemarakkan lagi populariti teater negara.
Joe K.A.S berkata, teater ‘Janji Presiden’ dipentaskan selama dua hari itu terbukti menunjukkan penerimaan yang luar biasa daripada golongan muda khususnya pelajar universiti.
“Alhamdulillah, saya nampak penerimaan generasi muda bila pementasan ini disampaikan dalam bentuk santai. Ada beberapa adegan yang sengaja dilakonkan dengan tidak serius meskipun kritikan sosial yang pedas dan tajam.
“Set dan props yang mininalis tetapi lebih kepada lakonan yang hebat sesuai dengan tempat pementasan. Kehadiran penonton seramai 400 orang menghangatkan lagi suasana,” katanya.
Katanya lagi, ‘Janji Presiden’ berkonsepkan satira komedi yang melontarkan pemikiran kritis tetapi dilonggarkan dengan lakonan yang sengaja tidak terlalu serius. Dalam ketawa penonton tetapi ada mesej yang disampaikan
Skrip ‘Janji Presiden’ ini pernah tersiar dalam majalah Dewan Sastera terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan ini julung kalinya dipentaskan.
Pementasan ini sekual dari Mimpi Presiden (2015), Dongeng Presiden (2023) dan Janji Presiden (2026). Apakah akan muncul lagi karya berkaitan Presiden? Tunggu!
‘Janji Presiden’ menampilkan barisan pelakon seperti Shaiful Amir (Tok Ampu); Schya Syukor (Wakil Presiden); Afif Khairullah (Warga 1); Adam Najmi (Warga 2); Hasbullah (Warga 3); Zaafarani Zaruwi (Reformis Tua); Muhammad Mifdhal (Refomis Muda); Zul Helmi (Rakan Reformis); dan Khairil Azwardy (Wak Nujum).
Pementasan ini dianjurkan oleh Persatuan Teater Alor Setar (PENTAS) dengan kerjasama DBP Wilayah Utara; Pusat Budaya dan Seni UUM serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kedah. – SUARA.TV


