Ketakutan MCA bukti Pas penyebar Islamofobia dakwa Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kenyataan Setiausaha Pemuda MCA, Saw Yee Fung yang mempertikaikan pakatan pilihan raya BN-PN yang diketuai Pas menunjukkan ketakutan MCA terhadap kehadiran Pas.

Menurut Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil, kenyataan tersebut jelas menunjukkan bahawa Pas sebenarnya yang menyebarkan Islamofobia sehingga MCA terpaksa berkempen bahawa tiada kerjasama antara BN dan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

Ujarnya, ia sekali gus dilihat satu penipuan terhadap rakyat Johor kerana di Negeri Sembilan, MCA akhirnya bekerjasama dengan Pas.

“Jelas sekali bahawa Pas sebuah parti yang tiada prinsip dan sanggup berbuat apa sahaja demi kuasa. Atas sebab inilah, kestabilan politik tidak akan dapat diwujudkan kerana Pas hanya memilih kawan untuk kuasa dan bukannya prinsip.

“Agenda penyatuan umat hanyalah candu politik yang ditunggang oleh Pas. Demi kuasa, Pas sanggup meninggalkan Bersatu tidak bertali, dan sekarang berkawan pula dengan Umno. ⁠

“Oleh itu, kerjasama politik Pas-BN ini tidak akan kekal lama dan akhirnya akan berpecah, yang mengakibatkan kesusahan kepada rakyat kerana ketidakstabilan politik.

“Sejarah membuktikan, demi kuasa juga Pas pernah berkawan dengan DAP dan membentuk kerajaan bersama di Perak, Selangor dan Pulau Pinang pada tahun 2008. Pada ketika itu, Pas bermati-matian mempertahankan kerjasama tersebut walaupun bersama dengan DAP.

“Pelbagai hujah dan dalil pada ketika itu dikeluarkan Pas asalkan Pas terus berada dalam kerajaan tersebut. Namun kini, demi kuasa sekali lagi, Pas bekerjasama dengan MCA dan mengharamkan kerjasama dengan DAP,” selar beliau.

Faiz menegaskan, kenyataan Pemuda MCA ini jelas menafikan dakwaan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) yang menyebarkan Islamofobia.

Hakikatnya kata beliau, pendekatan Pas yang ekstrem yang menyebabkan parti bukan Melayu seperti MCA takut kepada Pas.

“Presiden Pas seperti terlupa bahawa Pas yang selalu memainkan isu sentimen agama, menimbulkan bibit kebencian kaum dan sering membuat kenyataan yang bersifat ekstrim yang mana perkara-perkara ini telah mewujudkan Islamofobia di dalam negara.

“Sikap Pas ini tidak ubah seperti pepatah Arab “Dia yang pukul, dia yang menangis”. Itulah sikap Pas yang selalu menyalahkan orang lain, sedangkan Islamofobia itu berpunca daripada sikap Pas sendiri,” dakwa Faiz.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat